Thursday, May 21, 2009

Mukmin patut bersangka baik ketika ditimpa ujian, musibah

Berita harian : 21-05-2009


DARIPADA Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi bahawa keduanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini? Ia menjawab: Aku berada dalam keadaan baik. Syaddad berkata kepadanya: Bergembiralah engkau dengan perkara yang menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila aku menguji seseorang dari hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan ibunya, bersih daripada segala kesalahan, dan Tuhan berfirman kepada malaikat penulis amal itu: Aku sudah mengikat hamba-Ku itu dan mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika ia berkeadaan sihat." (Hadis riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi)

Alangkah beruntungnya mereka ditimpa ujian Allah, tetapi reda dengan keadaannya kerana tidak ramai daripada kita apabila didatangkan ujian sedangkan Allah menjanjikan amalan baik untuk mereka yang tidak merungut.

Sepatutnya apabila berhadapan dengan keadaan kurang menyenangkan, hendaklah kita bersangka baik kerana mungkin itu untuk menghapuskan dosa atau peringatan supaya kita bermuhasabah diri.



Ada kalanya, teguran daripada ahli keluarga atau rakan menyebabkan kita marah dan enggan menerima kritikan, tetapi teguran Allah mungkin dengan cara mendatangkan musibah menimbulkan keinsafan untuk menilai kembali perkara yang kita lakukan.

Nabi SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada sesuatu menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan mengingatkan apa yang berlaku sehinggakan tikaman duri mencucuknya melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosanya." (Hadis riwayat Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah)

Begitu juga apabila didatangkan sakit berpanjangan, kita dilarang sekali berdoa meminta mati hanya kerana tidak tahan menanggung ujian sakit dan ingin ditamatkan segera kesakitan itu.

Sebaliknya, jangan kita berputus asa berdoa supaya diberi kesabaran dan pada masa sama mengharapkan belas ehsan-Nya supaya dikembalikan nikmat kesihatan.

Ada kalanya, keadaan kita yang terdampar sakit bukan hanya kerana Allah ingin menguji kita, tetapi juga orang di sekeliling seperti ahli keluarga dan saudara mara.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; jika keadaannya mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Anas)

Maksiat berleluasa undang azab Allah

ARKIB Utusan Malaysia : 19/05/2009

Mega: Apabila berlaku musibah, orang beriman akan menganggapnya sebagai ujian. Adakah terdapat perbezaan antara bala dan azab Allah?

ZAHAZAN: Secara literal, al-bala' bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala' sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik maupun yang buruk (Imam ar-Razi, Mukhtar al-Shihah, hal. 65).

Dalam kitab al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran dinyatakan, bahawa bala' itu memiliki tiga bentuk;

1. Nikmat (kenikmatan),

2. Ikhtibaar (cubaan atau ujian), dan

3. Makruuh (sesuatu yang dibenci) (Syihab al-Din Ahmad, al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran, juz 1, hal. 85).

Di dalam al-Quran, kata bala' disebutkan di enam tempat dengan makna yang berbeza-beza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala' hasanan).

Bala' dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah SWT yang berikut: Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu. (al-Baqarah: 49).

Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisan al-Arab menyatakan, bahwa musibah adalah al-dhar (kemalangan, musibah, dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 535).

Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW, "Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah". (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).

Azab pula secara literal adalah al-nakal wa al-'uqubah (peringatan bagi yang lain, dan seksaan [hukuman]) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 585).

Al-nakal adalah peringatan yang berupa seksaan atau hukuman kepada yang lain. Kata al-adzab biasanya digunakan merujuk kepada hukuman atau seksaan kelak di hari akhir. Allah SWT berfirman: Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat. (al-Baqarah: 7).

Azab Allah SWT ada dua jenis. Pertama, azab yang ditimpa kepada penduduk suatu negeri yang berakibat musnahnya keseluruhan penduduk kota tersebut (isti'sal). Misalnya, kaum Tsamud yang dimusnahkan dari muka bumi.

Kedua, azab yang sangat keras, akan tetapi tidak sampai memusnahkan penduduk negeri tersebut. Contohnya, tsunami hanya kena pada sesuatu tempat dan penduduk sahaja.

Dalam ayat 58 surah al-Israk, Allah menegaskan bahawa bala itu diturunkan bagi penduduk yang mengingkari Allah. Bolehkah kita kaitkan dengan kemunculan pelbagai penyakit termasuk H1N1 ini dengan peringatan tersebut?

ZAHAZAN: Pada dasarnya, penyebab datangnya azab Allah SWT adalah kezaliman, kemaksiatan dan kefasikan.

Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa ayat. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman. (al-Qashash: 59).

Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik. (al-Ahqaf: 35).

Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim). (ad-Dukhan: 37).

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah SWT melalui dakwah Rasul-Nya telah diabaikan dan didustakan.

Jika melihat kepada ayat-ayat di atas kita tidak boleh menolak kemungkinan munculnya influenza A ini adalah akibat keingkaran manusia kepada Allah.

Adakah benar tersebarnya penyakit membawa maut, berleluasanya zina dan maksiat adalah merupakan antara tanda-tanda kecil menjelangnya hari kiamat?

ZAHAZAN: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan dan banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan dengan terang-terangan. (riwayat al-Bukhari).

Demikian juga pendapat Imam Baidhawi apabila menafsirkan ayat 41 dari surah al-Rum di atas.

Kata Imam Baidhawi, "yang dimaksud dengan kerosakan (pada ayat tersebut) adalah kemarau al-jadb), kebakaran yang bermaharajalela, tenggelam, hilangnya keberkatan dan banyaknya kelaparan, akibat kemaksiatan dan perbuatan manusia. (Tafsir al-Baidhawi, juz 2, hal. 106).

Kata beliau, musibah diturunkan oleh Allah kerana lima sebab.

Pertama, zina dibiarkan berleluasa dan jalan-jalan melakukannya seolah-olah terbentang luas melalui 'iklan' yang disiarkan. Apabila berlaku begini, akan diturunkan penyakit taun kepada sesuatu kaum itu.

Para ulama moden mengkiaskan taun itu sebagai wabak penyakit baru seperti meningitis, hepatitis, Aids, lembu gila, selesema burung dan H1N1. Sebelum ini, kita tidak pernah mendengar tentang penyakit-penyakit tersebut. Punca utamanya adalah zina terlalu berleluasa.

Kedua, berlaku kemarau disebabkan umat Islam tidak menunaikan zakat. Malah ulama menyebut, jika bukan kerana binatang dan tumbuh-tumbuhan yang melata, tentulah Allah tidak menurunkan walau setitik pun hujan di muka bumi ini.

Ketiga, perbuatan menipu dalam timbangan atau sukatan. Maka, Allah akan menimpakan inflasi menyebabkan kita sentiasa berasa tidak cukup walaupun dikurniakan rezeki.

Keempat, apabila kita tinggalkan undang-undang Allah maka musuh-musuh Islam akan berkuasa melakukan apa sahaja ke atas umat Islam. Ini termasuk merampas harta dan kita hanya boleh melihat tanpa boleh berbuat apa-apa.

Kelima, lanjutan daripada itu Allah akan menimbulkan prasangka antara satu sama lain di kalangan umat Islam. Menyebabkan kita tidak boleh bersatu.

Apakah prinsip yang perlu ada bagi umat Islam apabila berhadapan dengan musibah seperti H1N1 sekarang?

ZAHAZAN: Sesungguhnya, musibah maupun azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT. Dan menjalankan seluruh syariat-Nya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang maksud-Nya: Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (al-Taghabun: 11).

Sayangnya, banyak orang memandang musibah sebagai peristiwa dan fenomena alam biasa, bukan sebagai peringatan dan pelajaran dari Allah SWT. Akibatnya, mereka tetap tidak mahu berubah dan memperbaiki diri.

Mereka tetap melakukan kemaksiatan dan mensia-siakan syariat Allah SWT. Mereka lebih percaya kepada kekuatan ilmu dan teknologi yang dicipta manusia untuk menahan bencana dan musibah, dari pada Kekuatan dan Kekuasaan Allah SWT.

Adanya musibah tidak menjadikan mereka rendah diri dan bersandar kepada Allah, namun menyeret mereka untuk semakin ingkar kepada Allah SWT.

Benar, salah satu bentuk pertahanan diri untuk menjaga kepentingannya adalah berusaha semaksimum mungkin untuk menangkal bencana dan musibah dengan berbagai saranan dan prasarana.

Misalnya merancang pelan induk yang komprehensif, membangun sistem hujan yang baik, mendirikan tembok dan benteng yang kukuh dan sebagainya.

Namun, ia harus tidak hanya berhenti pada aspek-aspek fizikal seperti ini saja, akan tetapi harus mencakupi peningkatan spiritual yang mampu membawa kepada ketakwaan yang hakiki. Iaitu mentauhidkan Allah SWT dan menjalankan seluruh syariat-Nya.

Ini kerana penyebab utama datangnya azab adalah kemaksiatan, bukan semata-mata kerana lemah mahupun kurangnya infrastruktur fizikal.

Peranan ulama Patani di dunia perantauan

ARKIB Utusan Malaysia : 18/05/2009

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA
Salah seorang ulama Patani yang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh Abdur Rahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan juga sama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.

Nama beliau bukan saja terkenal di Mekah, tetapi juga termasuk di Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam satu catatan yang diperoleh di Siak Seri Inderapura, dicatatkan beliau pernah tinggal di Kerajaan Siak Seri Inderapura mengajar agama Islam, terutama ilmu Falakiyah kepada masyarakat dan kerabat Diraja Siak.

Bagaimana riwayat kedatangannya ke Siak tidak begitu jelas, yang diketahui jelas seorang anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datok Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Indrapura. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh keturunan yang ramai.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani ini bukan lahir di Siak, tetapi di atas kapal di Sabang. Bagaimana riwayat beliau mendapat jodoh dengan anak pembesar Siak juga tidak diketahui. Pengaruh beliau dalam Kerajaan Siak Seri Inderapura sangat besar, kerana beliau memang seorang ulama besar yang menguasai banyak bidang ilmu.

Setelah Indonesia merdeka, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departmen Agama Republik Indonesia. Pernah bertugas di beberapa tempat di Riau dan selanjutnya di Palembang, Sumatera Selatan sehingga beliau meninggal dunia di sana.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani sempat menghasilkan beberapa karya di antaranya Risalah Sullamit Tarsyid fi Ahkamit Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura tahun 1932, Hisab dan Falak Yang Dapat Digunakan Selama-lamanya, sebuah Ensiklopedia dan lain-lain.

PERANAN ULAMA PATANI DI JAMBI

Ketika terjadi pertikaian khilafiah di Mekah, kemenangan berada di tangan golongan Wahhabiyah. Ia menyebabkan beberapa ulama tidak aman tinggal di Mekah. Di antara mereka termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mengambil Jambi sebagai tempat persinggahan pertamanya.

Di Jambi secara tidak langsung beliau mendapat tempat dan ramai orang datang mengunjungi beliau kerana ingin menuntut ilmu. Dalam tempoh yang relatif tidak memakan masa yang lama beliau dan kawan-kawan berhasil mendirikan tempat pendidikan di Tahtul Yaman.

Oleh kerana Sultan Sulaiman Selangor mengajaknya pindah ke Selangor, lalu beliau meninggalkan Jambi, tetapi tempatnya di Jambi diganti oleh anaknya, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Pengaruh dan peranan Tengku Muhammad al-Fathani di Jambi sangat besar, sangat ramai muridnya. Di Jambi beliau dikenali dengan nama 'Ulama Jubah Hitam' kerana setiap kali mengajar beliau memakai jubah hitam dan berserban dengan kemas.

Penulis telah dua kali datang ke Jambi (1985 dan 1986) menginap di rumah anaknya bernama Zakaria. Daripada wawancara yang diperoleh, hampir seluruh pendapat masyarakat, bahawa setelah Tengku Muhammad al-Fathani tiada, memang tidak ditemui lagi ulama yang setaraf dengan beliau baik dari segi keilmuan ataupun besar pengaruhnya kepada masyarakat.

Sewaktu berada di Jambi, penulis sempat menyalin kandungan Harian Ampera yang ada dalam simpanan penduduk.

Harian Ampera hari Selasa, 28 Disember 1976, halaman 6 mencatatkan, "Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Tuan Guru Zuhdy, hari Minggu, 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kelmarin tiba di lapangan Pal Merah dengan pesawat terbang milik National Air Charter.

"Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pejabat pemerintah di sini menyambutnya di lapangan terbang. Dari Pal Merah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan dan hari Senin petang kelmarin dikebumikan di seberang Kota Jambi".

PERANAN ULAMA PATANI DI ACEH

Hubungan antara Patani dan Aceh sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara berjalan sudah demikian lama. Barangkali sejak diperkenalkan agama Islam di Asia Tenggara, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua tempat tersebut sudah terjalin dengan eratnya.

Dapat dicatat di antara ulama Aceh yang datang menyebar Islam ke Patani ialah Sheikh Muhammad Sa'id dan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Penulis difahamkan bahawa ulama dan tokoh Aceh yang sangat terkenal iaitu Teungku Daud Beureueh (1896-10 Juni 1987) termasuk salah seorang keturunan ulama Patani yang berhijrah dari Patani ke Aceh pada zaman dulu. Sampai di mana kebenaran cerita ini masih dalam tahap penelitian.

Mengenai Teungku Daud Beureueh di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah cukup banyak diketahui oleh orang, juga pernah dimuatkan dalam ruangan ini.

Jika kita kaji watak peribadi Teungku Daud Beureueh dan keseluruhan watak masyarakat Aceh dengan watak ulama-ulama Patani dan keseluruhan watak masyarakat Patani, sangat banyak persamaan terutama sekali sikap cenderung kepada pemerintahan bercorak Islam dan anti kafir. Maka sangat boleh diterima bahawa orang-orang Patani memang terjalin pertalian kekeluargaan dengan orang-orang Aceh.

Oleh itu, kisah mengenai Teungku Daud Beureueh adalah berasal dari keturunan Patani masih dapat diterima.

PERANAN ULAMA PATANI DI BRUNEI DARUSSALAM

Tersebut di dalam buku Tokoh-tokoh Agama Brunei Darussalam Pengenalan Ringkas tertulis, "Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah hidup sezaman dengan seorang pengembang Islam di Leren Geresik Jawa, Indonesia iaitu Maulana Malik bin Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 822 Hijrah. Dipercayai bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah mempunyai hubungan keluarga dengan Sultan Syarif Ali...".

Jika benar Sultan Syarif Ali itu adalah keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim, bererti jelas bahawa para penyebar Islam yang datang ke Brunei Daussalam ada hubungan kekeluargaan pula dengan penyebar-penyebar Islam yang menjadi datuk nenek para ulama Fathani Darus Salam.

Ini kerana Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Ibrahim al-Hadhrami al-Fathani. Maulana Malik Ibrahim itu sebelum ke Jawa pernah dibesarkan di Kerisik, Patani, menurut versi Patani.

Dalam Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Dan lagi Raja Brunei itu jadi dua beradik dengan bapa Tok Nyang Sheikh Abdur Rahman itu". Dimaksudkan dengan "... bapa Tok Nyang Sheikh ..." pada kalimat tersebut ialah Sheikh Abdul Mubin al-Fathani.

Walau bagaimanapun perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik beradik sebelah laki-laki ataupun dari adik beradik perempuan, yang dimaksudkan sehingga terjadi "dua beradik..." seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.

Namun, yang sempat penulis catat selain manuskrip Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu bahawa adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra ada 11 orang. Beberapa orang di antaranya dilahirkan di Kerisik Fathani Darus Salam.

Dua orang terakhir di antara mereka ialah Wan Muhammad Arifin Syah digelar Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani, beliau ini adalah datuk nenek Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Adik Wan Muhammad Arifin Syah al-Fathani yang bongsu namanya sewaktu di Pauh Bok Fathani Darus Salam ialah Wan Nik (nama timang-timangan, nama sebenar tidak diketahui).

Wan Nik al-Fathani inilah yang pergi ke Brunei menyebarkan Islam. Sewaktu di Brunei tidak diketahui beliau memakai nama apa. Namun yang jelas beliau sezaman dengan Syarif Ali yang juga menyebarkan Islam di Brunei, kemudian menjadi Sultan Brunei (sultan ke-3).

Ada kemungkinan beliaulah yang dimaksudkan dengan Syarif Ali, jika dihubungkaitkan dengan kalimat "... Raja Brunei itu dua beradik ..." dengan ulama Patani seperti tersebut pada kalimat. Bererti Wan Nik al-Fathani itu jauh ke atas, hingga ke bawahnya masih ada hubungan terus menerus, kerana satu silsilah keturunan ini pernah ditulis oleh salah seorang keturunan Sheikh Abdul Mubin al-Fathani yang berada di Brunei yang bernama Haji Sulaiman.

Haji Sulaiman ini pernah datang ke Pauh Bok, Patani menyerahkan sepotong salasilah kepada waris di Pauh Bok, Patani. Salah seorang anak beliau yang menjadi pembesar di Brunei ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awang Syihabuddin.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani juga pernah datang ke Brunei dan dikenali di Brunei dengan gelaran 'Tok Lubuk'. Selain mengajar beliau berkahwin di sana, meninggalkan keturunan yang ramai. Hubungan Patani - Brunei ini masih merupakan maklumat awal, justeru ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.

PERANAN ULAMA PATANI DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Penulis gunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu untuk wilayah yang bersempadan dengan Patani iaitu bahagian Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah dan Kelantan hingga ke Johor.

Sangat ramai orang yang berasal dari Patani atau keturunan mereka yang berperanan di Semenanjung Tanah Melayu, baik peranan sebagai ulama atau pun dalam bidang-bidang lainnya.

Dalam bidang agama Islam terutama pengajian-pengajian pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal hingga ke zaman hampir mencapai kemerdekaan adalah diasaskan oleh orang-orang yang berasal dari Patani.

Demikian dalam hal menjadi Mufti, Kadi dan lain-lain. Sebagai contoh: Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Tok Bukit Bayas, Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung kesemua mereka adalah berasal dari ataupun keturunan dari Patani yang sangat terkenal sebagai ulama Terengganu.

Apabila kita membicarakan ulama-ulama Kelantan sangat sukar memisahkan apakah seseorang itu berasal dari Patani ataupun dari Kelantan. Memang pertalian kekeluargaan antara Kelantan dengan Patani adalah tidak dapat dipisah-pisahkan, yang memisahkan hanyalah geografi dalam pemetaan politik atau pemerintahan saja.

Sekarang Patani dalam kekuasaan penjajahan, sedang Kelantan dalam pemerintahan Malaysia. Sebagai contoh; ulama dan tokoh Kelantan yang erat hubungannya dengan Patani seumpama: Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1235 H/1820 M-1331 H/1913 M), Sheikh Abdus Samad atau Tuan Tabal, Nik Mahmud bin Ismail lebih dikenal dengan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain.

Tok Kenali pula datuk neneknya berasal dari Cahaya (sekarang Chaiya) iaitu satu negeri yang terletak di Utara Patani. Demikian halnya dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang/Seberang Perai dan Perak.

Penutup

Ada pun peranan orang-orang Patani di tempat-tempat lainnya iaitu di Mekah, Mesir, dan Turki tidak dibicarakan lagi kerana sudah cukup banyak penulis perkenalkan dalam beberapa tulisan yang melibatkan ulama-ulama Patani. Kesimpulan dari peranan di Mekah bermula dengan penonjolan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala di Mesir dan Turki bermula dari aktiviti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Menghayati manhaj Nabawi

ARKIB Utusan Malaysia : 18/05/2009

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian ke hadrat Allah Tuhan Semesta Alam.

Semulia-mulia selawat dan salam ke hadrat Rasulullah berserta ahli keluarga dan sahabat Baginda.

Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, Dialah Tuhan yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya. (al-Mulk: 2)

Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.

Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah seperti ragut dan fenomena 'Mat Rempit' di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.

Nilai rahmat, kasih sayang dan cinta

Walaupun kita reda menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.

Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.

Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.

Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merobah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.

Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.

Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi yang ingin disentuh dalam kesempatan ini adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi SAW, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Khaliq SWT dan makhluk, antara Nabi SAW dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.

Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah SAW bersabda, Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit. (riwayat al-Bukhari dalam al-Kuna dan al-Adab al-Mufrad, Ahmad dalam al-Musnad, Abu Daud dalam al-Sunan, Hakim dalam al-Mustadrak, al-Tirmizi dalam al-Jami', al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dll).

Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).

Menurut Imam al-'Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.

Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.

Inilah yang tergambar dalam firman Allah SWT, Tanyalah (wahai Muhammad SAW), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. (al-An'aam: 12)

Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad' al Khalq, no hadis: 3194 dan Kitab Tauhid, no hadis 7404)

Di ketika-ketika yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

l "Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi". (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).

l "Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan". (Lihat Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi, Manahil al Silsilah, H: 11).

Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.

Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.

Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada jiwa-jiwa manusia.

Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.

Keislaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.

Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah SWT, Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah. (al-Nisa': 76)

Iman, Islam dan ihsan

Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.

Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.

Dalam kesempatan ini, kolum ini ingin menarik perhatian bahawa antara yang pincang dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasauf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi al-Deen seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu iman, Islam dan ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasauf.

Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.

Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Para Ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah SAW tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Tuhan SWT kepada manusia.

Lebih daripada itu, Nabi SAW adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian Umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.

Oleh itu Rasulullah SAW perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah SAW sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabdanya: Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasaei dalam kitab al Iman)

Keterampilan Rasulullah SAW sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Tuhan), seperti yang disebut dalam hadis lain (Riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi), perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.

Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan Umat Islam.

Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.

Akhirnya, kita menyaksikan al-Quran diraikan tetapi Tuhan ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah SAW dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama dikesampingkan.

Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang diingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi.

Dengan latar tersebut, ruangan baru ini berhasrat untuk turut menyumbang kepada menekankan semula manhaj Nabawi dalam penghayatan agama seperti yang diwarisi oleh generasi demi generasi para ulama muktabar umat ini.

Di antara ciri utama pendekatan ini adalah keseimbangan sendi-sendi iman, Islam dan ihsan dalam kehidupan beragama. Menyedari bahawa dimensi ihsan atau tasauf sering kurang mendapat penekanan yang wajar, ruangan ini akan turut banyak menceduk dari kitab-kitab tasauf muktabar terutama kitab Al-Hikam oleh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari r.a.

Semoga usaha ini mendapat taufik, inayah dan tilikan rahmat Ilahi Rabbul Jalil. Wallahu a'lam.

lYAYASAN SOFA adalah pertubuhan pendidikan, kebajikan dan dakwah dibawah pimpinan Ustaz Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Beliau adalah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Pandangan boleh disalurkan melalui e-mel: panelsofa@gmail.com.

Mengembala kambing sunah Rasulullah

ARKIB Utusan Malaysia : 18/05/2009

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan, kepintaran, kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untuk menjadi pemimpin umat malah pemimpin atau ketua dalam keluarga yang berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan tanggungjawab berat itu.

Oleh itu baginda mendapatkan semua pengalaman untuk menjadi pemimpin yang baik dengan menghabiskan sebahagian usia muda baginda sebagai pengembala kambing!

Kambing-kambing peliharaan baginda itu merupakan milik keluarga dan dikatakan juga mengambil upah mengembala kambing yang dimiliki oleh penduduk Mekah.

Namun tugas ini sebenarnya mempunyai falsafah yang unik lagi tinggi. Ia tidak sekadar mengembala kambing supaya tidak berkeliaran dan hilang dari kawalan.

Oleh kerana semua nabi sebelum ini pernah menjadi pengembala ternakan semasa mereka menjalankan amanah sebagai pembawa ajaran dari Allah. Lalu pengikut Rasulullah bertanya sendiri kepada baginda: "Adakah Wahai Rasulullah juga pernah menjadi gembala?" Lalu baginda menjawab: "Ya, selama beberapa waktu saya mengembalakan domba milik penduduk Mekah di daerah Qararit".

Justeru, kita hayati apa yang ditulis oleh penulis sejarah terkenal, Hussein Haekal mengenai corak kehidupan Rasulullah sebelum baginda mendirikan rumahtangga dengan wanita bangsawan yang terkenal, Siti Khadijah Khuwailid ini.

Kata Haekal, seperti yang kita ketahui, Perang Fijar atau Fujjar itu berlangsung hanya beberapa hari saja setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Pahit getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalangi mereka daripada kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan hiburan dengan sepuas-puasnya.

Maka adakah Nabi Muhammad juga ikut serta dengan mereka dalam hal-hal yang seperti ini? Atau sebaliknya?

Menurut Haekal, telah berlaku pelbagai gejala yang teruk melanda anak-anak muda di kota Mekah ketika itu.

"Sudahlah mereka tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam kemiskinan dan kekurangan namun merekalah yang ikut hanyut dalam hiburan itu.

"Bahkan di antara mereka lebih gila lagi dari golongan ternama Mekah dan bangsawan-bangsawan Quraisy dalam menghanyutkan diri dalam kesenangan demikian itu," katanya.

Akan tetapi Nabi Muhammad kata Haekal adalah anak muda yang ingin melihat, mendengar dan mengetahui.

"Itu sifat yang ditunjukkan oleh baginda," kata penulis sejarah Nabi yang terkenal ini.

Oleh itu baginda tidak ikut serta seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan kerana baginda lebih berminat untuk memiliki pengetahuan berbanding berhibur dan menjauhi hidup ber foya-foya.

"Baginda mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan dan yang akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran.

"Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam dirinya.

"Itu sebabnya, sejak zaman kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah tampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (yang dapat dipercayai)," kata Haekal.

Ini menyebabkan baginda lebih banyak merenung dan berfikir melalui pekerjaannya menggembalakan kambing sejak sejak usia remaja baginda.

Baginda sendiri dikatakan begitu gembira dengan tugas sebagai pengembala kambing itu.

Haekal dapat mengutip kata-kata rasa gembira baginda di saat-saat mengembala ternakan itu, iaitu: "Nabi-nabi yang diutus Allah, kesemua mereka mengembala kambing. Ini termasuklah Nabi Allah Musa, Nabi Allah Daud sehinggalah aku sendiri meneruskan usaha murni ini mengembala kambing milik keluarga ku di Ajyad.

"Baginda mempunyai hati yang terang, menjalankan tugas dalam udara yang bebas di siang hari sehinggalah membawa kepada kemilau bintang di langit apabila malam menjelma.

"Ini menjadikan tugas baginda itu amat sesuai dan serasi untuk pemikiran dan merenung kejadian alam bagi mendapatkan sesuatu di atau penafsiran tentang penciptaan semesta ini," katanya.

Baginda membawa kambing-kambingnya jauh merentas padang sehinggalah ke kaki-kaki gunung dan bukit, jauh dari kesibukan kota Mekah.

Namun apabila kambing-kambing yang ada di hadapan Nabi Muhammad itu menarik kesedaran dan perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing-kambing itu atau jangan sampai ada yang hilang dan sesat lalu baginda tidak lagi dalam dunianya yang tersendiri itu.

Baginda akan berusaha segenap tenaga dan akal pemikiran terhadap tahap keselamatan kambing-kambingnya itu.

Baginda akan mengawal dan memastikan sepenuhnya supaya ternakan tersebut dapat meragut rumput tanpa gangguan, hidup dan membiak dengan banyaknya.

Namun seperti yang ditulis oleh pakar sejarawan yang lain, Jaafar Subhani, apa yang penting mengembala kambing mengajar baginda supaya meningkatkan kesabaran dan ketabahan dalam 'memimpin' kambing-kambing itu.

Setiap ekor kambing akan mempunyai kerenah mereka yang tersendiri, begitu juga yang bakal dihadapi oleh baginda ketika baginda memimpin umat manusia.

"Apabila seseorang itu dapat menanggung kesukaran dalam menguruskan haiwan, yang tidak mempunyai akal dan kearifan, maka tentunya dia juga dapat bertanggungjawab untuk memimpin manusia yang sesat akal fikiran dan cara hidup mereka," kata Jaafar.

Malah dikatakan terdapat hadis Rasulullah sendiri yang menyebut: "Allah tidak mengangkat seorang nabi pun yang sebelumnya tidak dijadikan pengembala supaya mereka dapat belajar bagaimana hendak membimbing manusia."

Namun ada ketikanya, baginda hampir terpukau juga dengan kilauan segala macam maksiat dan hiburan yang berleluasa di Kota Mekah.

Ini apabila pada suatu hari ketika baginda menggembala kambing dengan seorang kawannya berkata bahawa baginda ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain dengan menyertai pelbagai hiburan di kota Mekah dengan meminta kawannya itu menjaga kambing-kambing peliharaan baginda.

Tetapi sesampainya di hujung kota Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan baginda ingin hadir di tempat itu.

Tetapi tiba-tiba baginda terjatuh dan tertidur.

Begitu juga pada malam berikutnya, baginda lagi sekali cuba hendak mengunjungi Mekah, dengan maksud yang sama.

Baginda telah terdengar dari jauh kemeriahan irama muzik yang indah, seolah-olah turun dari langit.

Ini membuatkan baginda terleka namun menyebabkan baginda akhirnya tertidur lagi sehingga keesokan paginya.

Lagi sekali baginda gagal menyertai hiburan seperti pemuda-pemuda yang lain dan bagai direncanakan oleh Allah supaya baginda tidak terlibat dalam hiburan yang bakal melalaikannya.

Sebagai pengembala kambing tentunya tidak menjanjikan keuntungan, jauh sekali kemewahan tetapi baginda lebih mengejar 'kemewahan' yang menjanjikan kekuatan kepada jiwa dan minda. Semua ini diperolehi walau sekadar bergelar pengembala kambing!

Baginda sendiri pernah menyebut, "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila sudah makan tidak sampai kenyang!"

Mengembala kambing bukan sekadar satu tradisi lama, wajar sekali dijayakan oleh kalangan anak-anak muda hari ini. Tidak sahaja untuk tujuan komersial tetapi bagi melahirkan pemimpin yang tabah dan tahan lasak sebagaimana yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan si pengembala kambing, Nabi Muhammad SAW.

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi

ARKIB Utusan Malaysia : 19/05/2009


UMMU Hakim lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy yang disegani pada ketika itu. Ayahnya adalah Al-Harith bin Hisyam iaitu saudara kandung kepada Abu Jahal.

Ibunya ialah Fatimah binti Al-Walid, saudara kandung Khalid Al-Walid. Suaminya pula adalah Ikramah bin Abu Jahal yang pada mulanya merupakan ketua pasukan tentera Quraisy yang menentang tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad.

Ikramah membawa isterinya berangkat ke medan peperangan ketika Perang Uhud meletus. Ummu Hakim berbaris dengan wanita lain di belakang pasukan tentera Quraisy memukul gendang untuk menaikkan semangat para pejuang mereka untuk bertempur dengan tentera Islam.

Mereka memusuhi agama Islam dan nabi Muhammad kerana dorongan ayahnya, Abu Jahal yang menentang keras agama Islam. Ini semua berlaku sebelum hati Ikramah dan Ummu Hakim terbuka pada agama Islam.

Apabila kota Mekah jatuh ke tangan pasukan tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad, Ummu Hakim bersama sepuluh wanita Quraisy telah pergi berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memohon pengampunan dan memeluk agama Islam.

Menggoda

Ummu Hakim mendapat tahu bahawa suaminya termasuk dalam senarai orang yang akan dihukum mati kerana menentang pihak Islam dengan keras dan kejam.

"Ya Rasulullah, saya memohon agar suami saya diberi pengampunan di atas kesalahannya selama ini," pohon Ummu Hakim yang datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendapat jaminan keselamatan bagi suaminya.

"Baiklah," Nabi Muhammad meluluskan permohonannya.

Namun Ikramah yang mendapat tahu bahawa dirinya sedang diburu tentera Islam melarikan diri ke negara Yaman. Ummu Hakim berasa kecewa dengan tindakan Ikramah itu dan mengambil keputusan untuk menjejaki suaminya sehingga menemuinya.

Dia berjumpa dengan Rasulullah untuk meminta izin bagi mencari suaminya dan dibenarkan oleh Nabi SAW.

Ikramah yang telah tiba di negara Yaman seterusnya bertekad untuk meninggalkan semenanjung Arab menuju negara Habsyah (Ethiopia) di benua Afrika.

Dia pun menaiki kapal di pelabuhan Yaman untuk meneruskan rancangannya. Namun kapal yang dinaikinya di landa taufan lalu merempuh ombak besar. Ikramah menjadi takut dan kecut lalu berjanji untuk memohon maaf dari Nabi Muhammad sekiranya selamat dari bencana itu. Kapal itu selamat dengan izin Allah.

Ketibaan Ikramah di pantai Tihamah di sambut oleh isterinya, Ummu Hakim dengan wajah ceria. Ummu Hakim telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan untuk berjumpa dengan suaminya. Ummu Hakim ditemani oleh seorang hamba lelaki berbangsa Rom ketika keluar kota Mekah menuju destinasi mencari suaminya.

Hamba lelaki itu menggoda Ummu Hakim lalu mendesaknya untuk melakukan perkara yang terkutuk. Namun Ummu Hakim berjaya menjaga maruah dirinya dengan menolak keinginan hambanya itu dengan bijaksana.

"Hasrat kamu akan ku tunaikan setelah bertemu dengan suami saya," Ummu Hakim memperdayakan hambanya dengan berjanji palsu dengannya.

"Baiklah," balas hambanya dengan penuh harapan.

Kemudian dia meneruskan perjalanannya menuju ke pantai Tihamah kerana mendapat berita bahawa suaminya berada di situ.

"Saya sudah memohon pengampunan dari Nabi Muhammad untuk diri kamu. Beliau telah mengabulkan permohonan saya. Kamu selamat pulang ke Mekah," ujar Ummu Hakim kepada suaminya yang khuatir untuk pulang bersamanya.

"Betulkah apa yang dikatakan oleh kamu itu," Ikramah kelihatan was-was.

"Ya. Nabi Muhammad berjanji tidak akan menghukum kamu".

Selepas berbincang dengan panjang lebar, hati Ikramah menjadi lembut dan tenang untuk mengikut Ummu Hakim pulang ke Mekah.

Mereka akhirnya tiba di depan pintu nabi Muhammad dan memohon izin untuk berjumpa dengan beliau. Nabi Muhammad gembira menyambut ketibaan Ikramah dan isterinya.

Ikramah melafazkan dua kalimah syahadat di hadapan nabi Muhammad lalu memeluk agama Islam. Ikramah memohon pengampunan dari nabi Muhammad di atas kesalahannya selama ini memusuhi agama Islam dan diri nabi Muhammad. Nabi Muhammad mengampuni segala kesalahannya selama ini dan menikahkan Ikramah dengan Ummu Hakim.

Ketika Perang Yarmuk meletus, Ummu Hakim keluar bersama suaminya, Ikramah yang memimpin pasukan tentera Islam untuk bertempur dengan orang Rom.

Ummu Hakim tidak melepaskan peluang untuk turut berjuang bersama pasukan tentera Islam untuk membunuh pasukan tentera Rom yang memusuhi mereka.

Dengan menggunakan pedang untuk menebas dan menikam tentera Rom yang cuba menghalang pergerakannya. Hatinya puas apabila melihat beberapa orang tentera musuh rebah menyembah bumi akibat tikaman dan tebasan pedangnya.

Jiwanya yang berani dan kental mengatasi ketakutan yang biasa ada pada diri wanita untuk menentang pihak musuh Allah. Ummu Hakim kehilangan suami tercintanya dalam Perang Yarmuk, namun hatinya gembira kerana Ikramah mati kerana menegakkan agama Islam.

Selepas tamat tempoh idah, Khalid bin Said telah melamarnya ketika pasukan tentera Islam sedang menanti serangan dari pasukan tentera Rom dalam Perang Maraj Ash-Shuffar.

Sengit

Ummu Hakim menerima lamaran Khalid bin Said lalu mereka bernikah di sebuah jambatan di Safar, selatan Damsyik yang kini dikenali sebagai jambatan Ummu Hakim.

Mereka mengadakan jamuan makan kepada pasukan tentera Islam sempena majlis pernikahan mereka. Namun sebelum sempat mereka makan, pasukan tentera Rom sudah menyerang mereka. Khalid bin Said bertempur dengan berani untuk melawan kemaraan tentera Rom.

Ummu Hakim pula mengikat pakaiannya lalu turut serta bertempur melawan pasukan tentera Rom. Pertempuran antara dua pasukan tentera itu berlangsung berhampiran sungai.

"Walaupun ini merupakan hari pernikahan saya dengan Khalid, namun saya tak akan meraikannya sehingga Allah memberi kemenangan ke atas pasukan tentera Islam," detik hati Ummu Hakim yang memegang pedang menebas dan menikam pihak musuh.

"Serang dan tentang pihak musuh sehingga titisan akhir darah kamu!," jerit komander pasukan tentera melihat kemaraan pasukan tentera Rom yang semakin mengasak kubu pertahanan tentera Islam.

Pertempuran itu berlaku dengan begitu sengit sehingga Khalid bin Said dan ramai tentera Islam terkorban dalam peperangan itu. Ummu Hakim berjaya membunuh tujuh orang tentera Rom dalam peperangan itu.

Ummu Hakim tidak sedih atau sayu dengan kematian Khalid bin Said pada hari pernikahannya. Ini adalah kerana suaminya terbunuh ketika menentang pihak musuh Islam.

Ummu Hakim menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 14 Hijrah. Semoga Allah menempatkan Ummu Hakim di kalangan orang yang dikasihi-Nya.