Thursday, July 05, 2012

Malam Nisfu Syaaban

ARKIB UTUSAN : 03/07/2012

SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: "Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar."


Malam pengampunan

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."

Imam al-Auza'i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan ummah (Muhammad SAW).

Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani': Saya bertanya Ibnu Thauban tentang maknamusyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah mereka.

Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."

Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata: "Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain."

Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud AS "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya."

Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka."

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.

"Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."

Mustajab doa
Abu Sa'id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata, "Wahai Abu Sa'id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW."

Berkata Abu Sa'id RA, "Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: "Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku."

Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: "Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?" Aisyah berkata, "Saya berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah!" Sabda Baginda: "Telah datang kepada saya Jibril AS dan berkata, "Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."

Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang dibacanya, maka Baginda bersabda, "Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya?" Saya berkata, "Ya." Baginda bersabda, "Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud."

Friday, March 30, 2012

Tentera Islam tawan Khaibar

BICARA AGAMA - ARKIB Utusan Malaysia : 28/03/2012
Susunan SITI AINIZA KAMSARI



Sebaik sahaja ternampak kebun-kebun milik penduduk Yahudi Khaibar yang penuh dengan pohon-pohon tamar, tentera Islam semakin berkobar untuk menawan Khaibar. - gambar hiasan


TIDAK sahaja si munafik, Abdullah bin Ubay yang bertindak jahat dengan memberitahu Yahudi di Khaibar tetapi saki baki keturunan Yahudi Bani Qainuqa yang masih ada di Kota Madinah juga memberitahu mengenai pergerakan Rasulullah dan para tentera baginda untuk menyerang Khaibar.

Mereka memberi amaran mengenai kedatangan tentera Islam dan mengarahkan supaya musuh segera bersiap sedia menghadapi serangan.

Semua ini diketahui oleh Rasulullah. Tetapi ia bukan penghalang kepada baginda untuk meneruskan kemaraan.

Tidak dinafikan berita yang sampai itu menyebabkan seluruh kaum Yahudi yang mendiami Khaibar terus melakukan persiapan dan persediaan untuk menghadapi tentera Islam. Tetapi yang menjadi persoalan adakah mereka perlu bertahan di kubu-kubu sahaja atau keluar untuk menyerang tentera Islam.

Lalu sebagai pemimpin kaumnya, Sallam bin Musykin berkata: "Tidak ada kaum yang diserang di tempat mereka sendiri melainkan bersifat penakut dan suka dihina. Kalau begitu, biar kita sahaja yang menyerang mereka.

"Kita sudah ada persiapan. Kita gerakkan tentera kita ke Madinah. Kalau kita terbunuh, Khaibar masih selamat. Kalau kita menang kita bawa balik harta rampasan. Kalau kita tunggu kedatangan mereka, kita akan menghadapi masalah."

Namun cadangan Sallam itu ditolak kerana mereka lebih memilih untuk mempertahankan Khaibar dengan bertahan di sebalik kubu-kubu yang dibina kukuh.

Dalam pada itu jika dilihat pada jumlah anggota tentera di pihak Yahudi Khaibar itu, mereka sebenarnya telah 'menang'.

Berbanding tentera Islam yang hanya seramai 1,000 orang, bilangan di pihak Yahudi berlipat kali ganda kerana mereka berjaya mengumpulkan 10,000 anggota tentera.

Begitupun, mereka sebenarnya tetap gentar dan bimbang untuk menghadapi tentangan dan serangan daripada tentera Islam. Mereka sedar kekuatan sebenar yang dimiliki oleh tentera Islam, walaupun jika dilihat daripada segi angka, jumlahnya sangat kecil yang lazimnya sangat mudah untuk dikalahkan.

Lalu pihak Yahudi berusaha mendapatkan bantuan anggota tentera tambahan terutama dari kalangan Arab lain yang masih mempunyai cita-cita menentang Rasulullah.

Setelah beberapa puak Arab menolak permintaan daripada Yahudi kerana sedar kini akan kekuatan yang dimiliki oleh tentera Islam, namun terdapat satu puak Arab yang sedia membantu mereka.

Bani Ghatafan yang merupakan puak Arab yang diketuai oleh Uyaynah bin Husn atau lebih dikenali sebagai Al Ahmaq al Muta' sedia menawarkan anggota tentera tambahan.

Uyaynah disifatkan sebagai seorang ketua yang bodoh tetapi ditaati oleh para pengikutnya.

Sebelum ini, puak Arab Ghatafan itu pernah menentang Rasulullah dalam perang Ahzab dan akibat masih tidak berpuas hati apabila kemenangan tidak berpihak kepada pihaknya, Uyaynah kembali bangun menentang Rasulullah.

Jika dahulu dia sanggup bersekongkol dengan tentera Quraisy Mekah, kali ini Uyaynah sanggup berkerjasama dengan pihak Yahudi, asalkan cita-citanya untuk menghancurkan Islam tercapai.

Uyaynah terus menghantar 1,000 anggota tentera dengan tambahan 4,000 orang lagi untuk membantu Yahudi Khaibar.

Tentu sahaja pihak Yahudi sangat gembira dengan bantuan yang dihulurkan oleh Bani Ghatafan itu, sekali gus memberikan mereka semangat untuk melawan pihak Islam.

Ketika Raulullah dengan bala tentera Islam bergerak menuju ke Khaibar, keadaan yang menantikan mereka ialah 10,000 anggota tentera Yahudi dengan tambahan 1,000 tentera dari Bani Ghatafan.

Ini bererti 11,000 tentera sedang menunggu tentera Islam dan 4,000 lagi anggota tentera tambahan dari Puak Ghatafan sedang bergerak dan berada di belakang tentera Islam.

Kedudukan tentera Islam agak bahaya jika kedua-dua belah pihak musuh yang berada di hadapan dan di belakang mereka itu membuat serangan serentak.

Begitupun, baginda berjaya memintas perjalanan dengan strategi menyerang Khaibar melalui arah Syam. Ini supaya pihak musuh tidak akan dapat lari ke Syam atau mereka dalam keadaan terkepung.

Pada masa itu juga Rasulullah menghantar wakil kepada Uyaynah meminta supaya dia dan seluruh bala tenteranya menarik diri daripada menyertai peperangan. Namun usaha tersebut sia-sia.

"Tidak ada perbincangan lagi antara kita kecuali dengan pedang, yakni perang," katanya Uyaynah.

Apabila berita itu diberitahu kepada Nabi Muhammad, baginda pun berlapang dada dengan berkata: "Kita berserah sahaja kepada Allah. Allah sahajalah sebaik-baik pembela!"

Thursday, January 26, 2012

Taubat Abu Lubabah

ARKIB Utusan Malaysia - 25/01/2012

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

AKHIRNYA tiada satu pun cadangan-cadangan dari Kaab yang merupakan pemimpin kaum Yahudi Bani Quraizah yang sedang dikepung oleh tentera Islam itu diterima oleh anak-anak buahnya.

Sebagai pemimpin, Kaab sangat kesal sedangkan keadaan menjadi semakin runcing tetapi jalan keluar masih tidak ditemui.

Lalu Kaab pun menyerahkan kepada anak-anak buahnya menentukan nasib mereka sendiri.

Akhirnya, mereka beroleh satu cadangan yang dirasakan akan dapat mengeluarkan mereka dari kepungan tentera Islam.

Mereka setuju menghantar seorang wakil atau utusan dari Bani Quraizah kepada Nabi Muhammad. Tujuannya, bukan melakukan sebarang perbincangan damai secara terus dengan baginda, sebaliknya meminta kebenaran menghantar wakil dari pihak Islam untuk berunding dengan mereka.

Mereka meminta supaya Abu Lubabah atau nama sebenarnya Mubsyir bin Abdul Munzir daripada suku kaum Aus yang antara terawal memeluk Islam dihantar kepada Bani Quraizah untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Mungkin kerana Abu Lubabah sebelum ini terkenal sebagai individu yang banyak menjayakan perjanjian dan tolong menolong dengan kaum Yahudi Bani Quraizah, maka beliau lebih dipercayai oleh kaum itu.

Beliau seorang yang bijak. Buah fikirannya sentiasa bernas. Sebab itu digelar Abu Lubabah, bererti bapa yang berfikiran baik yang juga seorang yang rapat dengan Nabi SAW. Maka tentulah kata-katanya tidak akan ditolak oleh baginda.

Walaupun ada kalangan para sahabat yang lain membantah dan meminta baginda menolak sahaja permintaan wakil Bani Quraizah itu, namun baginda masih memberi peluang.

Lalu dimaklumkan kepada Abu Lubabah supaya pergi menemui kaum Yahudi itu untuk berunding pada keesokan paginya.

Keesokan harinya Abu Lubabah seorang diri memasuki perkampungan Bani Quraizah. Beliau disambut dengan penuh penghormatan dan mendapat layanan yang cukup baik.

Dikatakan beliau terus dibawa di mana semua kaum wanita dan kanak-kanak Bani Quraizah dikumpulkan.

Apabila melihat kedatangan Abu Lubabah itu, seluruh kaum wanita itu menghampirinya dan terus meratap dan menangis sambil merayu-rayu supaya meminta Nabi Muhammad membebaskan mereka daripada kepungan itu.

Ini kerana mereka telah kehabisan bekalan makanan yang menyebabkan anak-anak mula menangis kelaparan dan jatuh sakit.

Agak tersentuh hati Abu Lubabah menyaksikan ratap tangis kaum wanita dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.

Tetapi mengenangkan perbuatan bapa kanak-kanak tersebut yang mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad yang menyebelahi pihak musuh dalam perang Khandaq, Abu Lubabah kembali marah dan kesal kepada kaum tersebut.

"Kebodohan kamu yang menyebabkan anak-anak kamu menjadi mangsa dan menderita, jika kamu tidak berpaling tadah tentulah tidak jadi begini," kata Abu Lubabah.

Sungguh kesal

Mengakui akan kesilapan tersebut lalu Kaab pun menyerahkan kepada kebijaksanaan Abu Lubabah bagi menentukan nasib mereka.

"Mungkin lebih baik kami menyerah diri sahaja kepada Muhammad dan menerima sahaja apa sahaja hukuman yang bakal ditentukan oleh Muhammad kepada kami," tanya Kaab.

Abu Lubabah pun menjawab: "Ya".

Tetapi telah berlaku satu kesilapan yang sangat besar di sini, walaupun mulut Abu Lubabah berkata "ya" tetapi tanpa beliau sedari, yang disaksikan oleh seluruh hadirin beliau meletakkan jarinya ke leher yang digerakkan kiri ke kanan.

Yang lazimnya bermaksud akan disembelih!

Ini menyebabkan kaum Yahudi itu sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa Abu Lubabah akan bertindak sedemikian rupanya.

Yang diharapkan Abu Lubabah akan menyelamatkan mereka, tetapi rupa-rupanya Abu Lubabah yakin bahawa mereka sebenarnya akan mati dibunuh juga akhirnya.

Ini menyebabkan kaum Yahudi terus menghalau beliau. Abu Lubabah sendiri sebenarnya berasa sangat malu dan menyesal kerana seolah-olah beliau telah mendahului Rasulullah dalam menentukan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kaum Yahudi itu.

Sedangkan beliau sepatutnya berbincang dan sama-sama mencari jalan keluar dan bukannya menjatuhkan hukuman.

Lalu sejurus tiba di rumahnya, beliau meminta rantai besi daripada isterinya lalu dibawa ke Masjid Nabawi dan dengan bantuan isterinya itu Abu Lubabah mengikat dirinya sendiri di salah satu tiang besar yang ada di masjid itu.

Beliau sungguh kesal dan menangis serta sanggup agar dirinya dirantai sebagai menyesali perbuatannya itu.

Abu Lubabah mengarahkan isterinya agar beliau dilepaskan hanya untuk tujuan bersolat, makan minum dan melepaskan hajat.

Selain itu beliau rela dirantai dan diikat pada tiang tersebut atas rasa bersalah beliau yang menggagalkan rundingan dengan Yahudi Bani Quraizah itu.

Apabila ditanya oleh orang ramai dan mereka cuba melepaskan beliau dari rantai itu, Abu Lubabah enggan dilepaskan sehinggalah Allah mengampuni dosa dan kesalahannya itu.

"Saya tidak akan melepaskan diri daripada rantai ini apatah lagi pergi dari tempat ini melainkan Allah menerima taubat saya.

"Saya berjanji kepada Allah bahawa saya tidak akan memijak lagi bumi Bani Quraizah dan tidak akan melihat negeri yang menjadikan saya khianat kepada Allah dan rasul-Nya itu buat selama-lamanya," kata beliau.

Taubat

Beliau rela diikat dan dirantai pada tiang masjid itu dan tidak henti-henti menangis, bertaubat dan memohon kepada Allah agar dosanya diampunkan.

Dikatakan selepas enam hari dan enam malam Abu Lubabah menghukum dirinya sendiri seperti itu, akhirnya Allah pun menurunkan wahyu dan ayat kepada baginda, Nabi Muhammad;

Dan ada golongan yang mengakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampur adukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (at-Taubah: 102)

Sebelum itu dikatakan ayat yang turun berhubung dengan apa yang dilakukan oleh Abu Lubabah itu, Allah telah berfirman dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasul-Nya (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepercayaan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui. (al-Anfaal: 27)

Rasulullah sendiri tidak dapat melepaskan Abu Lubabah daripada rantai yang kuat mengikatnya di tiang itu sebagai menghormati permintaan Abu Lubabah yang mahu dilepaskan sehinggalah Allah sendiri mengampuninya.

Sedangkan Rasulullah sedia memaafkannya kalau Abu Lubabah menemui baginda untuk memohon maaf.

Wahyu yang menerima taubat Abu Lubabah itu diterima oleh baginda pada waktu tengah malam.

Baginda lalu memberitahu isteri Abu Lubabah, Ummu Salamah supaya menyampaikan berita gembira itu kepada suaminya yang sedang dirantai di masjid.

Sudah pastinya Abu Lubabah begitu gembira kerana Allah akhirnya mengampuni beliau.

Begitupun beliau masih tidak mahu dilepaskan dari rantai yang mengikatnya sehinggalah Rasulullah sendiri yang melepaskan ikatan rantai itu.

Kebetulan pula baginda masuk ke masjid itu kerana hendak mengerjakan solat Subuh, maka pada subuh hening itu bersama linangan air mata kegembiraan Abu Lubabah, baginda pun membebaskan sahabat itu dan baginda sendiri tidak pernah menyalahkan Abu Lubabah atas apa yang telah beliau lakukan!

Sunday, August 21, 2011

Kelebihan Malam Lailatul-Qadar


Sumber: Blog walking


Carilah dengan segala upayamu malam Lailatul – Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 akhir dalam Ramadan”-Hadis riwayat Iman Bukhari r.a. Mengapa kita harus mencari Lailatul-Qadar? Jawapnya ialah kerana malam itu satu-satunya malam yang penuh keberkatan dan amal ibadat ketika itu mempunyai nilai pahala yang lebih baik daripada 1000 bulan ( Kira-kira 83 tahun 3 bulan )..



Pada malam tersebut dengan izin Allah, para malaikat dan Jibril dari Sidratul Muntaha akan turun kebumi untuk bertemu dengan orang yang beriktikaf, bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir memohan kebaikan daripada Allah Taala. Para malaikat akan mengaminkan doa mereka itu. Merupakan detik-detik keemasan yang menjanjikan sinar kegemilangan individu muslim untuk merebut syurga Allah dalam kehidupan kekal abadi iaitu di akhirat.

Sianaran matahari esoknya tunduk akur menahan sinaran cahaya malaikat yang sedang bergegas menuju kelangit setelah berhimpun dipelosok bumi pada malam Lailatul-Qadar.

“Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya)’-(Surah al-Qadar).Malam itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar (Surah al-Qadar). Dalam hubungan ini Rasaulullah s.a.w bersabda : “Pada tiap- tiap malam Lailatul-Qadar itu, Allah menurunkan rahmat yang meliputi sekelian mukmin di atas muka bumi ini dari timur ke barat. Selebihnya diperintahkan Allah kepada Jibril agar diberikan kepada bayi yang lahir pada malam itu samada oleh ibu yang Islam atau Kafir”. ( Kitab Durrah al – Nasihin ).

Kebanyakkan ulama berpendapat, Lailatul-Qadar ialah malam mula diturunkan al- Quran, iaitu pada 17 Ramadan tahun ke 40 setelah Nabi Muhammad dilahirkan. Rasulullah bersabda : “Lailatul Qadar dikurniakan ke atas umatku dan tidak kepada umat lain”- Hadis riwayat Anas r.a. Rasulullah pernah memikirkan mengenai umur umatnya yang pendek berbanding umat nabi-nabi yang lain (Sekitar 60-70 tahun jarang yang lebih daripada itu). Dengan rahmat Allah dikurniakanNya malam Lailatul-Qadar yang penuh keberkatan itu terlebih baik daripada 1000 bulan.

Hadis lain menyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi. Hanya bersenjatakan kulit unta Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.

Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.

Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!” Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.

Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dariNya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.

Dengan kuasa Allah s.w.t. tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi bagi membalas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya. Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah al-Qadar. Anugerah malam Lailatul-Qadar dengan menghidupkan malamnya mempunyai ganjaran melebihi 1,000 bulan, tidak perlu melakukan jihad sehebat Syarm’un.

Membaca satu ayat al-Quran pada malam Lailatul-Qadar lebih disukai oleh Allah berbanding membaca seluruh al-Quran hingga khatam pada malam-malam lain. Perbualan nabi Musa a.s yang terkenal suka berdialog dengan Allah.

· Nabi Musa a.s: “Ya Allah aku ingin mendekatiMu?”

· Allah: “Apabila engkau menghidupkan malam Lailatul-Qadar!”

· Nabi Musa a.s: “Ya Allah aku ingin RahmatMu?”

· Allah: “Rahmat dan belas ikhsanKu kepada mereka yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar!”

· Nabi Musa a.s: “Ya Allah aku ingin melintasi Titian Siratul Mustaqim selaju kilat”

· Allah: “Hanya jika engkau menghidupkan malam Lailatul-Qadar“

· Nabi Musa a.s: “Ya Allah aku ingin duduk dibawah pohon syurgaMu dan menikmati buah-buahannya?”

· Allah: “Dirikanlah ibadat pada malam Lailatul-Qadar!”

· Nabi Musa a.s: “Ya Allah aku ingin selamat daripada api neraka?”

· Allah: “Wahai Musa, carilah keberkatan pada malam Lailatul-Qadar!”

Setiap malaikat mendoakan umat yang bermunajat, itulah kelebihan umat Muhammmad antaranya diampunkan dosa-dosanya pada malam Lailatul-Qadar belum pernah terjadi kepada umat lain sebelum ini. Disamping doa dan harapan kita umat Islam untuk mendapat kesejahteraan hidup, rezki yang berkat, ilmu yang bernafaat, kesihatan yang baik dan sebagainya tiada hijab untuk Allah menrima dan memakbulkannya. Melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya iaitu:-

1. Orang yang kekal minum arak.

2. Orang yang derhaka kepada ibubapanya.

3. Orang yang memutuskan silaturahim.

4. Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih 3 hari.

Lailatul-Qadar membawa makna Malam Kemuliaan dan Kebesaran iaitu malam terkumpulnya keseluruhan al-Quran di Lauhul-Mahfuz sebelum diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Surah Ad-Dhukaan ayat kedua juga di sebut mengenai kemuliaan al-Quran yang diturunkan pada malam Lailatul-Qadar:

“Demi al-Quran! Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguh Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat…(Kami menurunkan al-Quran pada malam berkat itu dijelaskan malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku),-tidak bertukar atau berubah.

Satu lagi hadis menceritakan mengenai beberapa orang bani Israel menghabiskan masanya lebih 80 tahun menyembah Allah s. w. t. Mereka ialah Nabi Ayub, Nabi Zakaria dan Nabi Yusya. Mendengar itu sahabat Rasulullah s.a w. takjub dan bertanya bagaimana cara untuk menyaingi mereka itu, lalu Rasulullah bacakan Surah al-Qadar.

Ibnu Hazam berpendapat:-

· Jika bulan Ramadan 29 hari – maka 10 hari terakhir bermula malam ke 20, maka Lailatul-Qadar jatuh pada malam yang genap.

· Jika Ramadan genap 30 hari – maka 10 hari terakhir bermula malam ke 21, maka Lailatul-Qadar jatuh pada malam yang ganjil.

Lailatul-Qadar adalah kurniaan Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w. yang tidak ternilai fadhilatnya. Ini ada kaitan dengan umur manusia di zaman akhir ini (Umat Muhammad).

Jibril a.s. berkata kepada Rasulullah s.a.w.” Ya Muhammad, tahukah engkau kenapa singkat umur umatmu?”Tanpa menunggu jawapan, Jibril a.s sendiri menjawab pertanyaan itu ” Sebabnya supaya mereka tidak berpanjangan melakukan maksiat ….”. Lailatul-Qadar hanya satu malam sahaja dalam malam bulan Ramadhan.

· Ulama sependapat mengenai tarikhnya, namun kebanyakkan menyatakan tarikhnya ialah pada malam 27 Ramadhan ( Malam 7 likur ).

· Iman Syafie r. a. menyatakan Lailatul – Qadar pada malam 21 Ramadan dan lain-lain ulama menyatakan pada malam 23, 25 dan 29 Ramadhan.

· Ada yang menyatakan daripada 10 malam akhir Ramadhan samada malam yang ganjil atau genap.

Sahibul-Tanbih r a. menyatakan, Lailatul-Qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan berdasarkan jumlah huruf kalimah Lailatul-Qadar (Dalam tulisan al-Quran) iaitu jumlahnya 9 didharabkan dengan 3 (Kerana disebut 3 kali dalam asurah berkenaan) lalu dapat 27.

Mengikut Ibnu Abu Hurairah r.a., Abu al-Hassan menyatakan sejak baligh dia tidak pernah luput dapat menemui malam Lailatul-Qadar itu berdasarkan hari awal Ramadhan seperti berikut :-

· Hari Ahad dan Rabu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 29 Ramadhan.

· Hari Isnin maka Lailatul- Qadar pada malam ke 21 Ramadhan.

· Hari Selasa dan Jumaat maka Lailatul- Qadar pada malam ke 27 Ramadhan.

· Hari Khamis maka Lailatul- Qadar pada malam ke 25 Ramadhan.

· Hari Sabtu maka Lailatul- Qadar pada malam ke 23 Ramadhan.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.

Dalam riwayat lain,“Sesiapa mendirikan sembahyang empat rakaat dengan membaca surah al-Fatihah, al-Kauthar dan al-Ikhlas tiga kali, dimudahkan menghadapi sakratul maut, dikecualikan daripada azab kubur dan dikurniakan empat tiang daripada nur tiap- tiap satunya terdiri 1000 mahligai“.

Lantas dirikanlah:-

1. Sembahyang sunat 2 rakaat, setiap kalinya dibaca surah Fatihah 1x dan surah al-Ikhlas 7x.

2. Diikuti bacaan istigfar (Astaghfirullahal azim wa atubuilaihi), zikrullah (La ilaha illallah, Allahu akbar), bertasbih (Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim), selawat (Allahumma sholli’ala saidina Muhammad).

3. Sembahyang sunat tahajjud.

4. Sembahyang sunat tasbih.

5. Mereka yang bertemu Lailatul-Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri dan disalami oleh para ,alaikat, hendaklah segera membaca: “Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anni waghfirli”.

Membaca surah al-Qadar 7x selepas sembahyang Isyak akan menjauhkan kita dari malapetaka. Tidak menjadi alasan wanita yang haid, walaupun uzur hendaklah memperbanyakkan:-

{ Doa.

{ Beristighfar.

{ Bertasbih.

{ Bertahmid.

{ Bertakbir

{ Bersedekah

{ Menjaga maruah dan akhlak

{ Sentiasa berada dalam keredaan suami (bagi yang berkahwin).

{ Sentiasa berada dalam keredaan ibu bapa (bagi yang tidak berkahwin).

Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menagislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:

{ Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.

{ Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.

{ Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan

{ Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR!

Sunday, May 15, 2011

Hanzalah berjihad walau baru nikah

ARKIB Utusan : 11/05/2011


SEORANG lagi pahlawan Islam yang jihad bermati-matian ketika Perang Uhud ialah Anas bin Nadhar. Beliau tidak dapat menyertai Perang Badar sebelum ini kerana masih terlalu muda.

Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang Uhud, beliau sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang.

Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.

Namun akhirnya Anas mati syahid. Namun dikatakan beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat, iaitu Saad bin Muaz sebelum mengakhiri nafasnya.

"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak di kaki bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad, selamat tinggal," ujar Anas.

Seorang lagi pahlawan Uhud yang mempunyai kisah yang menyentuh perasaan ialah Hanzalah Al Ghasil bin Abu Amir. Hanzalah dikatakan baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang sangat jelita.

Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan Uhud, Hanzalah dikatakan terus bergegas meninggalkan isteri dalam dakapannya semata-mata untuk menyahut seruan jihad.

Apabila berhadapan dengan musuh di medan perang, Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh dengan membunuh ramai di kalangan anggota tentera Quraisy sehingga membuka jalan kepada beliau yang akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima perang Quraisy.

Hanzalah dikatakan hampir berjaya membunuh Abu Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.

Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai perang dalam keadaan basah seluruh badannya.

Rasulullah menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja dimandikan oleh para malaikat kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah masih dalam keadaan berjunub.

Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.

Namun Rasulullah sendiri juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang pahlawan yang tidak sahaja berlawan malah mampu mengalahkan musuh.

Dalam satu peristiwa ketika berlangsung perang itu, iaitu di saat-saat akhir sebelum perang tamat, telah tersebarnya berita kononnya Rasulullah terkorban.

Namun apabila mendapat tahu baginda sebenarnya masih hidup, seorang anggota tentera di pihak musuh bernama Ubai bin Khalaf terjerit-jerit mencari baginda Rasulullah.

"Di mana orang yang mengaku dirinya itu seorang nabi? Andai dia seorang yang berani, keluarlah bertarung dengan aku, satu lawan satu sehingga salah seorang terkorban.

"Di manakah Muhammad? Aku sendiri malu untuk meneruskan hidup jika membiarkan si Muhammad ini terus hidup," kata Ubai dengan sombong dan bongkak.

Mendengarkan cabaran Ubai itu, ramai pahlawan dan sahabat baginda yang menawarkan diri untuk membunuh Ubai bagi pihak baginda.

Namun baginda meminta diberi ruang untuk baginda sendiri berhadapan dengan Ubai.

Sebaik sahaja Ubai melihat kemunculan baginda maka tanpa ditunggu-tunggu lagi dia pun terus memacu kudanya dengan deras untuk menyerang baginda.

Lalu baginda pun meminta sebilah lembing yang sedang dipegang oleh Harith bin Syimmah. Sebaik sahaja Ubai semakin menghampiri baginda maka dengan pantas dan sekuat-kuat tenaga baginda melontarkan lembing itu ke arah Ubai.

Lembing itu tepat sasarannya mengenai leher Ubai sehingga tembus. Ubai mati tersungkur dalam keadaan berlumuran darah.

Hebatnya pahlawan Islam berjuang

ARKIB Utusan: 11/05/2011

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

BAPA saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib benar-benar seorang pahlawan Islam sejati walaupun akhirnya tumpas dan syahid di tangan musuh di Perang Uhud.

Sebelum syahid, belaiu berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir dalam perang itu. Bayangkan berapa ramai lagi yang bakal tewas di tangannya andai beliau tidak syahid di tangan hamba kulit hitam Warsyi bin Harb.

Kehebatan Assadullah atau Singa Allah itu benar-benar tiada tandingannya dan sangat dikagumi!

Tetapi sayangnya sejauh mana generasi terutama yang muda Islam hari ini mengenali Saidina Hamzah berbanding nama 'pahlawan' yang kebanyakannya tidak pernah wujud pun di muka bumi ini.

Malah direka dengan tokok tambah segala macam kekuatan dan kehebatan sedangkan kesemua 'pahlawan' itu wujud atas nama animasi kartun dan lakonan untuk melariskan jualan tiket-tiket wayang.

Kehebatan Saidina Hamzah wajar 'dijual' supaya lebih ramai lagi 'Singa-Singa Allah' sepertinya dapat kita lahirkan.

Ia antara lain membuktikan bahawa jumlah musuh yang ramai bukan penyebab umat Islam mengaku kalah dalam perjuangan. Sebaliknya, perlu kuat persis Saidina Hamzah yang relatifnya adalah manusia biasa, tetapi atas nama jihad dan mengharapkan syurga Allah, maka satu demi satu musuh ditumpaskan.

Perang Uhud memang benar-benar mengumpulkan ramai pahlawan Islam yang terbilang. Tetapi yang terbilang selain dari Saidina Hamzah ialah Abu Dujanah seperti yang diceritakan sebelum ini.

Kecuali Abu Dujanah yang menampakkan ciri pahlawan yang menggerunkan musuh dengan melilitkan serban merah di kepalanya, pahlawan-pahlawan Islam yang lain mungkin kelihatan begitu 'sederhana'.

Lebih bersifat tawaduk dan rendah diri malah mungkin mempunyai susuk badan yang kecil tetapi kekuatan yang dipamerkan adalah sangat luar biasa.

Salah satu kisah menarik, apabila seorang pahlawan musuh bernama Thalhah dengan sombong dan bongkak mencabar mana-mana pahlawan Islam berlawan dengannya pada peringkat awal sebelum Perang Uhud meletus.

"Siapa yang mahu bertanding berlawan dengan aku," teriak Thalhah.

Apabila tiada pahlawan Islam yang mahu menyahut cabarannya, Thalhah pun terus menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati pasukan tentera Islam.

"Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu menyangka Tuhan akan menghantar kami ke neraka dengan pedang kamu dan menghantar kamu ke syurga dengan pedang kami!

"Siapakah antara kamu yang akan mempercepatkan kami ke neraka dengan pedangnya? Atau pun kami akan mempercepatkan kamu ke syurga dengan pedang kami?

"Sungguh, kamu berdusta. Demi Latta dan Uzza, sekiranya kamu semua betul-betul percaya begitu, keluarkanlah seorang daripada kamu kepada kami sekarang," teriaknya.

Disebabkan kata-kata yang angkuh itu, sahabat besar Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib pun keluar menyahut cabaran si Thalhah. Tanpa membuang masa, menantu Rasulullah itu menyerang Thalhah dengan sekali libasan pedangnya sahaja berjaya mencederakan kaki pahlawan Quraisy itu sehingga menyebabkan dia cedera parah dan terjatuh tanpa sempat melawan.

Ali kemudiannya meninggalkan Thalhah begitu sahaja yang tidak mati walaupun kakinya putus akibat libasan pedangnya.

Rasulullah bertanya mengapa Saidina Ali tidak terus membunuh sahaja musuh yang begitu sombong mencabar tentera Islam itu.

"Thalhah kini begitu malu dengan kata-katanya dan saya kasihan dan tidak sampai hati membunuhnya," jawab Ali dengan penuh makna.

Dikatakan, sebelum pasukan musuh bertempur secara besar-besaran dengan tentera Islam, hampir 12 pahlawan Quraisy berjaya dibunuh oleh para pahlawan Islam dalam adegan atau pertarungan satu lawan satu.

Thursday, December 23, 2010

Mimpi Atikah dan Perang Badar

ARKIB Utusan : 22/12/2010

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

MIMPI Atikah yang merupakan ibu saudara Nabi Muhammad seolah-olah memberi petanda akan ada musibah buruk menimpa Mekah atau lebih tepat lagi, golongan kafir Quraisy.

Pada mulanya Atikah hanya menceritakan kepada saudaranya, Abbas mengenai mimpi itu dan meminta agar kisah mimpinya itu dirahsiakan. Tetapi apabila Abbas memberitahu kepada sahabat baiknya, Walid Utbah, tanpa Abbas menyangka akhirnya kisah mengenai mimpi ngeri itu tersebar luas ke seluruh Mekah.

Lalu Abu Jahal, musuh ketat umat Islam terus bertanyakan kepada Abbas mengenai mimpi saudara perempuannya itu.

Abbas yang tidak tahu menahu cerita mimpi itu telah tersebar, berasa pelik dengan kata-kata Abu Jahal.

"Apa yang telah berlaku sebenarnya Wahai Abu Jahal? Apa maksud kamu ada perempuan di kalangan keluarga Abdul Mutallib hendak menjadi nabi pula," tanya Abbas.

Abu Jahal pun berterus terang: "Mimpi Atikah!"

"Mimpi apa," tanya Abbas yang sebenarnya terpaksa menafikan mengenai mimpi itu kerana bimbang apa yang dimimpikan oleh Atikah itu dikhuatiri akan benar-benar terjadi.

Namun Abu Jahal tetap bimbang mengenai mimpi itu terus mencabar Abbas sebagai wakil kepada Suku Abdul Mutalib.

"Kalau tidak berlaku apa-apa dalam tempoh tiga hari mulai dari hari ini, kami akan membuat satu kenyataan bertulis supaya semua orang tahu bahawa Suku Abdul Mutalib adalah suku yang paling suka menipu di kalangan orang Arab," cabar Abu Jahal.

Apabila berita mengenai cabaran ini sampai kepada keluarganya, Abbas menjadi mangsa apabila ahli-ahli keluarga itu begitu marah kerana membiarkan Abu Jahal mempersenda-sendakan suku Abdul Mutalib, yang begitu terkenal sebagai suku bangsawan dan sangat disegani oleh pihak lawan dan kawan.

Abbas yang berasa kesal atas kejadian itu lalu berazam selepas tiga hari andai Abu Jahal hendak memperkecilkan lagi Suku Abdul Mutalib dia akan bertindak kasar terhadap Abu Jahal.

Namun persoalannya, benarkah mimpi Atikah itu benar-benar memberikan alamat buruk kepada mereka yang memusuhi Islam dan akan berlaku satu peristiwa besar membabitkan kedua-dua belah pihak?

Mimpi itu, sama ada secara kebetulan mahupun tidak, dianggap sebagai satu petanda atau alamat yang sangat besar kerana yang berlaku selepas itu adalah Perang Badar, antara musuh kafir Quraisy dengan umat Islam yang sangat signifikan dalam sejarah dan pengajarannya kepada seluruh umat manusia.

Namun sebelum itu, perang tersebut tidak akan mudah meletus kecuali dengan melalui arahan atau perintah yang tegas daripada Allah sendiri

Thursday, October 22, 2009

Ummu Hani menyelamatkan iparnyaUmmu Hani menyelamatkan iparnya

ARKIB Utusan Malaysia : 20/10/2009

NAMA sebenarnya ialah Ummu Hani binti Abi Talib. Dia adalah anak Fatimah binti Asad. Ummu Hani merupakan isteri Hubairah bin Amru. Dia mempunyai empat orang anak iaitu Amru, Jaadah, Hani dan Yusuf.

Selepas Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Ummu Hani memeluk agama Islam iaitu pada tahun 8 Hijrah. Suaminya pula tidak mahu memeluk agama Islam. Hal ini telah menyebabkan Ummu Hani dan suaminya terpaksa berpisah.

Suaminya meninggalkan Ummu Hani dan pergi ke Najran di Yaman. Suaminya tinggal di Yaman sebagai pelarian. Akhirnya suaminya meninggal dunia di sana dalam keadaan kafir.

Ummu Hani merupakan salah seorang wanita yang melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayatnya dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ummu Hani memiliki sifat yang baik. Dia juga merupakan ibu yang penyayang terhadap anak-anaknya. Pernah diceritakan tentang sikap dan adab Ummu Hani ketika di hadapan Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad datang berjumpa dengan Ummu Hani. Tujuan sebenar Nabi Muhammd datang adalah bagi melamar Ummu Hani.

"Wahai Ummu Hani, saya ingin melamar awak. Sudikah awak berkahwin dengan saya," tanya Nabi Muhammad.

Ummu Hani tersenyum mendengar lamaran itu. Kemudian dia menjawab dengan tenang, "Tuan, saya adalah ibu kepada anak-anak yang ramai. Anak-anak saya sudah tentu memerlukan perhatian daripada saya. Tambahan pula mereka masih kecil. Sekiranya saya berkahwin dengan tuan, saya bimbang anak-anak saya akan menyinggung perasaan tuan. Saya juga bimbang saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai isteri tuan".

Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sebaik-baik wanita yang menunggang unta ialah wanita Quraisy. Mereka sangat sayang kepada anak-anak yang masih kecil. Mereka juga pandai menjaga suami mereka sendiri".

Ummu Hani adalah antara wanita yang kuat. Dia pernah mengikuti perang Khaibar bersama Nabi Muhammad. Dia juga seorang yang baik hati dan mempunyai rasa simpati terhadap orang yang susah.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa Ummu Hani pernah menyelamatkan dua orang lelaki iparnya yang akan menerima hukuman bunuh.

Pada suatu hari Nabi Muhammad telah menduduki di sebuah bukit di kota Makkah. Kemudian dua orang lelaki datang berjumpa dengan Ummu Hani. Mereka berdua ialah ipar lelaki Ummu Hani. Mereka berasal dari suku bani Makhzum.

"Wahai Ummu Hani, tolong selamatkan kami berdua. Kami akan dibunuh," kata dua orang lelaki iparnya itu.

Ummu Hani berasa kasihan dan simpati terhadap mereka berdua. Kemudian Ummu Hani berkata, "Awak berdua menyorok sahaja di rumah saya. Saya akan bantu dan selamatkan awak berdua".

"Terima kasih Ummu Hani," kata iparnya itu.

Kemudian Ummu Hani menutup pintu rumahnya bagi menyelamatkan iparnya itu. Sebentar kemudian datang saudaranya iaitu Ali bin Abi Talib ke rumahnya.

"Saya akan bunuh dua orang lelaki ipar awak itu," kata Ali dengan bersemangat.

Sangat menghormati

Ummu Hani segera mendapatkan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menyambut kedatangan Ummu Hani dan bertanya, "Wahai Ummu Hani mengapakah awak datang berjumpa dengan saya?"

Ummu Hani menceritakan segala peristiwa itu dengan teliti kepada Nabi Muhammad.

"Tolong selamatkan kedua-dua ipar saya itu wahai Nabi Muhammad," rayu Ummu Hani kepada Nabi Muhammad.

Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Ummu Hani, "Wahai Ummu Hani saya akan melindungi orang yang awak lindungi. Saya akan beri keamanan kepada kedua-dua ipar awak itu. Ali tidak boleh membunuh mereka. Tiada sesiapa pun boleh membunuh mereka".

Para sahabat yang ada di tempat Nabi Muhammad mendengar berita tersebut. Mereka tidak dibenarkan membunuh kedua-dua ipar Ummu Hani. Peristiwa itu menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sangat menghormati Ummu Hani.

Nabi Muhammad pernah menikmati makanan yang disediakan oleh Ummu Hani. Pada suatu hari Nabi Muhammad bertanya kepada Ummu, "Awak adakah sedikit makanan yang boleh saya makan?"

Ummu Hani pun menjawab, "Saya Cuma ada sepotong daging. Saya berasa malu untuk hidangkan kepada tuan".

"Tidak mengapa. Hidangkan sahaja kepada saya," kata Nabi Muhammad.

Ummu Hani segera mengambil daging itu lalu dipotongnya menjadi kecil. Ummu Hani menyediakan air dan garam kepada Nabi Muhammad. Makanan itu segera dibawanya ke tempat Nabi Muhammad.

"Silakan tuan makan," pelawa Ummu Hani.

"Awak ada makanan yang lain?," tanya Nabi Muhammad.

Ummu Hani terus menjawab, "Saya hanya ada cuka di rumah ini".

Nabi Muhammad pun berkata kepada Ummu Hani, "Bawakan cuka itu kepada saya. Sebaik-baik lauk adalah cuka. Tidak ada kekurangan bagi seseorang yang di dalam rumahnya ada cuka".

Ummu Hani seorang yang bersopan-santun dan berhati mulia. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 50 Hijrah.