Tuesday, June 30, 2009

Nabi beruzlah daripada berhala di Kaabah

ARKIB Utusan Malaysia : 22/06/2009

Oleh SITI AINIZA KAMSARI



DI zaman arab jahiliah, Kaabah dicemari dengan beratus-ratus berhala pelbagai bentuk tetapi sehingga kini Rumah Allah itu bersih dan menjadi destinasi utama umat Islam mendekatkan diri kepada Allah.

--------------------------------------------------------------------------------



TAHUKAH anda apa yang dimaksudkan dengan dosa warisan (Original sins) yang dihukum kepada umat manusia, yang kemudiannya ditebus oleh Nabi Isa a.s dalam ajaran Kristian?

Dosa itu dianggap yang paling berat kerana akibat kesalahan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah menyebabkan manusia tidak lagi berpeluang menemui tuhan, iaitu Allah.

Maka jangan salahkan manusia apabila mereka akhirnya menyembah patung dan berhala kerana semua itu merupakan manifestasi mereka hendak menemui dan mengenali tuhan.

Ini membawakan mereka mempunyai definisi mengenai wahyu yang sangat berbeza daripada apa yang Islam tetapkan mengikut landasan al-Quran dan hadis.

Ini apabila manusia masih berpeluang untuk menemui tuhan mereka dengan kehadiran Nabi Isa itu sendiri, maka apa sahaja yang keluar dari mulut Nabi itu dikenali sebagai Hazrat Isa atau dikenali sebagai Kalimah Allah turut juga dikenali sebagai wahyu!

Nabi Isa dengan lain perkataan dikatakan mempunyai persamaan taraf dengan al-Quran, kalam Allah sementara Nabi Muhammad SAW tidak lebih hanyalah seorang pelapor-pelapor wahyu (Reporters of the Revelation). Adakah benar begitu?

Sebagai umat Islam pastinya apa yang mereka hujahkan mengenai persoalan wahyu itu sama sekali tidak benar. Walaupun mereka cuba meletakkan kedudukan wahyu yang sebenarnya kononnya adalah lebih tinggi berbanding daripada apa yang ditetapkan dalam Islam.

Namun sebelum kita pergi jauh kepada persoalan wahyu ini, lebih-lebih lagi sejarah penurunan wahyu pertama dari Allah kepada Nabi Muhammad ketika baginda berkhalwat di dalam Gua Hira sebagaimana ada yang bertanyakan mengapa baginda tidak menjadikan Kaabah sebagai medan untuk baginda beruzlah (menyendiri daripada orang lain)?

Jawapannya tentu mudah. Ini apabila Kaabah telah dicemari dengan beratus-ratus patung berhala yang diperbuat daripada ukiran batu dan kayu, yang memenuhi di dalam dan di luar Kaabah selain yang boleh didapati disetiap rumah masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu.

Bagaimana dalam keadaan ‘sekotor’ seperti itu membolehkan Nabi Muhammad mampu melakukan uzlah. Walaupun kaum keluarga baginda, Bani Quraisy merupakan penjaga Kaabah yang mampu membersihkan Kaabah dari sebarang upacara-upacara kepercayaan karut dan tahyul, percaya kepada benda-benda yang mati itu. Tetapi baginda dalam usaha untuk mengumpulkan kekuatan iman, sekental moyangnya, Nabi Ibrahim yang mampu memusnahkan kesemua berhala-berhala itu seorang diri.

Persoalan ini juga tidak memberikan jawapan kerana baginda takut terpengaruh dan akhirnya turut sama menyembah berhala jika baginda menjadikan Kaabah, medan untuk baginda beruzlah!

Ini kerana kebencian baginda terhadap berhala-berhala berkenaan sudah tertanam kuat sekian lama dan bagaikan pokok yang sudah berakar umbi, kebencian itu tidak akan mudah dapat dicabut!

Bayangkan sahaja dalam penaklukan atau peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) selepas lapan tahun baginda berhijrah ke Madinah (tahun 8 Hijrah), perkara pertama yang terus baginda lakukan tanpa dapat dihalang-halang lagi ialah memusnahkan kesemua patung-patung berhala itu selain mencium batu hajaral aswad.

Tidak satu pun baginda tinggalkan berhala itu hatta untuk tujuan untuk ditunjukkan kepada anak cucu atau umat Islam yang lain. Sebaik sahaja semua dapat dihancurkan, baginda juga segera membasuh luar dan dalam Kaabah dengan air zamzam seolah-olah Kaabah disamak akibat terkena najis yang berat!

Persoalan kedua mengapa baginda perlu mengasingkan diri, jika segala persoalan mengenai penciptaan alam, kepercayaan terhadap tuhan yang bersarang di minda baginda mungkin dapat dijawab oleh pendita Yahudi atau Nasrani?

Andai ini yang baginda lakukan, tidak dinafikan baginda akan beroleh pelbagai jawapan. Malah baginda akan diajar pelbagai perkara lain termasuk membaca dan menulis demi untuk kebaikan baginda sendiri.

Tetapi telah diaturkan oleh Allah agar pesuruh-Nya ini tidak berguru dengan para pendita tersebut. Jawapannya mudah, supaya kepandaian membaca dan menulis itu kelak tidak akan memakan diri baginda.

Pastinya baginda akan dituduh oleh musuh-musuh Islam sebagai dalang yang menulis semua isi kandungan al-Quran sedangkan kitab itu merupakan kalam-kalam suci dari Allah yang bukan ditulis oleh sesiapa pun terutama sekali Nabi Muhammad.

Walaupun baginda dikurniakan dengan pelbagai kebolehan dan keistimewaan tetapi bukan dalam hal menulis kitab itu.

Lagipun baginda sendiri tidak mengharapkan kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendita. Melainkan dari alam sekitar itu sendiri, iaitu soal keluasan langit dan bintang-bintang, panahan sinaran bulan dan matahari, padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang terik dan sebagainya lagi.

Namun, tidak kurang yang berkata, baginda memilih untuk berkhalwat di Gua Hira itu semata-mata berdasarkan atau alamat dari satu mimpi.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Saidatina Aishah r.a mengenai peristiwa penurunan wahyu yang pertama ini.

Daripada Aisyah Ummil Mukminin r.a dikhabarkan bahawa beliau telah berkata: “Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah SAW ialah melalui mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Baginda bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan (dikemukakan) kepadanya untuk berkhalwat berasingan diri. Lalu Junjungan berkhalwat di Gua Hira’ untuk bertahannuth (beribadat) di dalamnya, iaitu beribadat dalam masa beberapa malam”.

Dalam peristiwa kedatangan Malaikat Jibril yang membawakan perintah kerasulan dan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad bagaimana baginda diperintahkan oleh Jibrail supaya membaca, “Iqra’!” yang diulang-ulang oleh malaikat itu sebanyak tiga kali. Tetapi baginda hanya dapat menjawab; “Ana biqari!” (Saya tidak tahu! Saya tidak tahu! Saya tidak tahu!)

Persoalannya benarkah baginda tidak tahu?! Adakah baginda benar-benar seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) atau buta huruf?

Sedangkan yang sebenarnya baginda tahu membaca tetapi jawapan baginda kepada Jibrail yang mengatakan tidak tahu bermaksud sebenarnya, baginda tidak tahu apa yang hendak dibaca!

Halimatun tundukkan singa

ARKIB Utusan Malaysia : 29/06/2009

ADA seorang wanita bernama Halimatun Armiah yang bekerja sebagai tukang masak di istana Raja Yarmuz. Dia disayangi oleh Raja Yarmuz kerana kepakarannya di bidang masakan. Halimatun menghabiskan separuh dari usianya bekerja sebagai tukang masak Yarmuz.

Raja Yarmuz seorang pemerintah yang membenci agama Islam kerana dia mahu seluruh rakyatnya menyembahnya sebagai tuhan. Dia tidak mahu ada kuasa yang lebih berkuasa daripadanya.

"Beta akan menghukum sesiapa sahaja rakyat beta yang menganut agama Islam. Ingat hanya beta sahaja yang patut disembah sebagai tuhan. Sesiapa yang ingkar pada perintah beta akan dihukum mati," titah Raja Yarmuz kepada rakyat negara Yarmuz.

"Saya pernah melihat ada lelaki dimasukkan dalam kandang binatang buas kerana ingkar perintah Raja Yarmuz," kata seorang lelaki kepada kawannya yang turut mendengar titah Raja Yarmuz itu.

Halimatun yang pada ketika itu belum menganut apa-apa agama berasa takut dengan amaran Raja Yarmuz itu dan berjanji untuk tidak mengingkari raja yang zalim dan kejam itu.

Namun pada suatu hari, Halimatun mendapat petunjuk daripada Allah dan akhirnya memeluk Islam. Pada awalnya, ahli keluarganya takut mendengar Halimatun memeluk agama Islam.

Penjelasan dan keindahan agama Islam yang diperkatakan oleh Halimatun kepada keluarganya mencairkan tembok kejahilan yang ada pada diri keluarganya itu. Mereka akhirnya memeluk Islam dan menjalankan kewajipan sebagai orang Islam.

Kini sudah beberapa bulan berlalu sejak Halimatun dan ahli keluarganya memeluk Islam. Dia terus menjalankan tugas sebagai tukang masak istana seperti biasa tanpa mendedahkan rahsianya yang sudah memeluk Islam itu. Jauh di sudut hatinya, dia juga mahu melihat kawan-kawannya memeluk Islam.

"Pastikan semua orang menjalankan tugas mereka dengan baik dan teliti. Tempat memasak, bekas peralatan makanan dan hidangan makanan harus berada dalam keadaan bersih.

"Raja Yarmuz tidak suka kepada mereka yang malas dan benda-benda yang kotor," arah ketua tukang masak kepada semua tukang masak yang kelam kabut dan riuh rendah mendengar berita mengenai lawatan mengejut Raja Yarmuz ke dapur istana.

Walaupun semua rakan Halimatun berdebar-debar menerima lawatan Raja Yarmuz tetapi Halimatun tenang sahaja menunggu ketibaan Raja Yarmuz itu.

Tidak lama kemudian, Raja Yarmuz tiba ke dapur istana dan gembira melihat pekerja-pekerja dapur istana melakukan kerja mereka dengan baik dan tekun.

"Halimatun tolong bawa bekas makanan ini untuk dihidang di meja besar bagi santapan Raja Yarmuz!," perintah Ketua Tukang Masak.

Halimatun pun terus membawa sebuah bekas makanan menuju ke meja santapan Rajanya itu. Namun tiba-tiba wanita ini terlanggar sesuatu menyebabkan bekas makanan yang dipegangnya terlepas dari tangan Halimatun dan terjatuh ke lantai.

"Allah!" Halimatun menyebut nama Allah tanpa beliau sedari terlepas daripada mulutnya.

"Apa?" kata Raja Yarmuz dalam nada suara yang tinggi dan keras apabila mendengar Halimatun menyebut kalimah Allah itu.

Tenang

"Kamu menyebut nama Tuhan orang Islam. Maka adakah ini bermakna kamu juga sudah memeluk agama Islam," tanya Raja Yarmuz kepada Halimatun.

Halimatun serba salah untuk menjawab dan Raja Yarmuz yang dapat melihat keadaan Halimatun yang mencurigakan itu.

Apabila didesak beberapa kali, Halimatun akhirnya mengaku sudah memeluk Islam.

"Patik sekarang menyembah Allah. Tuhan semesta alam," ucap Halimatun dengan yakin.

"Beta mahu kamu meninggalkan agama Islam dan mengaku beta sebenarnya tuhan kamu.

"Sekiranya kamu ingkar perintah beta, kamu akan dijatuhi hukuman berat," ugut Raja Yarmuz yang begitu murka mendengar pengakuan Halimatun itu.

"Patik sama sekali tidak akan tunduk pada perintah tuanku. Patik sanggup menerima hukuman tuanku!," kata Halimatun yang enggan menurut perintah Raja Yarmuz walaupun tahu hukuman berat menantinya.

"Pengawal! Kamu tangkap wanita ini dan humbankan dia ke dalam kandang singa. Biar dia menjadi makanan singa-singa yang kelaparan itu," perintah Raja Yarmuz itu tentu sahaja turut mengejutkan kawan-kawan Halimatun yang lain.

Halimatun hanya kelihatan tenang sahaja apabila pengawal istana menangkapnya. Perintah Raja Yarmuz dilaksanakan dengan segera. Halimatun dimasukkan terlebih dahulu ke dalam kandang singa sebelum singa-singa peliharaan Raja Yarmuz dilepaskan ke dalam kandang.

Singa-singa yang masuk ke dalam kandang itu kelihatan begitu garang dan tidak menunggu kecuali mahu menerkam dan menyiat-nyiat Halimatun yang hanya mampu berdiri di sudut kandang.

Halimatun sebenarnya ketakutan namun beliau teringat kepada Allah Yang Maha Mengasihani makhluk-makhlukNYA yang dizalimi.

"Ya Allah! Sekiranya Engkau Maha Berkuasa berikanlah perlindungan mu ke atas diriku ini," doa Halimatun dengan penuh takwa.

Singa-singa itu tentu sahaja dapat menghidu bau manusia lalu tanpa menunggu barang sesaat haiwan ganas itu hendak mematahkan tengkuk Halimatun yang masih menggeletar ketakutan namun mulutnya tidak henti-henti menyebut nama Allah.

Ditakdirkan, haiwan yang asalnya begitu garang, rakus dan begitu ganas secara tiba-tiba tunduk terhadap Halimatun. Haiwan itu seolah-olah memberi penghormatan kepada wanita ini dengan izin Allah. Halimatun terus menadahkan tangan tanda bersyukur kepada Allah kerana melindunginya dari menjadi mangsa haiwan liar itu.

Kejadian itu cukup menghairankan Raja Yarmuz.

"Mengapa singa-singa beta tidak membaham dan mengoyak tubuh wanita tua itu? Apa yang sudah berlaku? Lebih menghairankan mengapa singa-singa itu kemudiannya tunduk dan hormat pada Halimatun?," kata Raja Yarmuz.

"Mungkin dia mendapat pertolongan dari Tuhannya," sambung Raja Yarmuz kepada pembesarnya.

"Mungkin juga Tuanku!," mereka yang lain setuju dengan pendapat Raja Yarmuz itu.

"Halimatun harus dikeluarkan dari negara ini. Sekiranya orang ramai tahu tentang kehebatan Halimatun menundukkan singa-singa beta, mungkin ramai akan memeluk Islam," kata Raja Yarmuz.

"Ini merupakan ancaman kepada tuanku!," sahut salah seorang pembesar kepada Raja Yarmuz yang masih bingung memikirkan mengenai Halimatun.

Akhirnya Halimatun dihalau keluar dari negeri itu tanpa belas kasihan oleh Raja Yarmuz.

Polemik Rasulullah seorang ummi

ARKIB Utusan Malaysia : 29/06/2009
OLEH SITI AINIZA KAMSARI


DARI kecil, iaitu sejak kita mula mengenal membaca dan menulis telah sering ditekan mengenai sebuah 'ajaran' bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf!

Malah kita sanggup mempertahankan ajaran itu apabila ada pihak cuba mengatakan yang sebaliknya, mustahil Nabi Muhammad seorang yang buta huruf!

Adakah ini kerana jika mengatakan baginda sebenarnya tahu membaca dan menulis maka itu tidak memberikan satu pengesahan bahawa baginda seorang Rasul, utusan Allah?

Benar, yang dimaksudkan dengan perkataan ummi' adalah seseorang yang tidak tahu, tidak mempunyai kepandaian dan kemahiran untuk membaca dan menulis, iaitu merujuk kepada perkataan umm bererti ibu.

Iaitu lazimnya keadaan di mana seperti janin atau bayi yang masih dalam kandungan rahim ibunya, bererti tidak tahu apa-apa, apatah lagi membaca dan menulis.

Malah ini sebagaimana telah disebutkan dalam surah al-A'raf ayat 157 bahawa: Nabi Muhammad seorang ummi; iaitu mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka".

Ini menyebabkan kita sering kali mengaitkan buta huruf itu dengan kebodohan (jahlun) tetapi Nabi sebenarnya seorang yang amat pintar. Jadi bagaimana kita dapat kaitkan seorang yang ummi itu sedangkan ketika usia mudanya pernah menjalankan perdagangan malah membawa balik keuntungan yang sangat besar.

Kejayaan baginda melakukan transaksi perniagaan ini menjadi satu petunjuk bahawa baginda seorang yang mampu membaca dan menulis.

Malah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit bahawa Nabi pernah bersabda: "Jika kalian menulis kalimat Bismillahirrahim, maka perjelaskanlah huruf sin di situ".

Ini menunjukkan baginda seorang yang bukan sahaja mengenal huruf tetapi baginda tidak mempunyai masalah dalam aspek tulisan dan penulisan.

Ini seperti gambar yang dipaparkan di ruangan ini antara surat-surat yang ditulis oleh baginda bagi menjayakan misi dakwah terutama kepada pemerintah-pemerintah sesebuah kerajaan.

Jadi, mustahil seorang Rasul seperti baginda seorang yang bodoh. Apatah lagi mengingatkan kepada kita salah satu sifat wajib yang ada bagi seorang Rasul itu adalah fathonah, iaitu cerdas dan pandai.

'Ajaran' Nabi Muhammad seorang yang benar-benar buta huruf dijadikan alasan atau perisai yang menahan baginda dari dituduh, sebagai individu yang menulis al-Quran.

Andai kata baginda tahu menulis membaca, maka kita dikatakan tidak mempunyai sebarang perisai lain yang boleh digunakan bagi menangkis tuduhan tersebut.

Tidak dinafikan persoalan sama ada Nabi Muhammad seorang yang buta huruf ataupun tidak, telah menjadi polemik dan perbincangan oleh pelbagai pihak malah sehingga kini pun ia masih dibicarakan.

Salah satu pendapat bagi menafikan baginda seorang yang ummi iaitu faktor budaya masyarakat Arab Jahiliah itu sendiri.

Orang Arab ketika itu dikatakan tidak mempunyai budaya membaca dan menulis yang kuat kerana mereka mempunyai kelebihan dalam mengingat kalimat-kalimat dengan begitu sempurna. Tanpa ada sebaris ayat atau perkataan yang tertinggal.

Bagi mereka, menghafal 100 bait-bait puisi dan syair gurindam sudah cukup dengan sekali mendengar! Kalau mereka mempunyai kebolehan yang sehebat itu maka tidak perlulah lagi mereka menulis.

Malah dikatakan jika semua apa yang mereka semat dan hafal dalam ingatan itu ditulis, maka akan terdapat beribu-ribu lembaran buku dihasilkan bagi menampung semua yang dihafal itu.

Begitupun faktor ini tidak mempunyai kekuatan malah yang sebenarnya masyarakat Arab walaupun jahil tetapi mereka terkehadapan dalam aspek membaca dan menulis itu sendiri.

Setiap tahun mereka akan menganjurkan sayembara atau festival pembacaan natsar (prosa) dan syair (puisi) di pasar raya Ukaz.

Lalu, karya-karya yang memang dan dianggap terbaik akan mendapat penghormatan lalu akan ditulis dan ditampal di dinding-dinding Kaabah.

Fakta ini membuktikan masyarakat Arab zaman itu termasuk suku Quraisy, iaitu keturunan baginda mahir membaca dan menulis.

Namun seperti yang dijelaskan oleh tokoh Islam terkenal, Sheikh Al Maqdisi bahawa individu yang menafsir sejarah dan al-Quran itu sendiri yang keliru terhadap keupayaan dan kapasiti Rasulullah khususnya dalam soal membaca dan menulis ini.

Menurutnya, walaupun benar ummi itu bermaksud sebagai buta huruf tetapi apabila dikaitkan dengan Rasulullah, ummi di sini bermaksud baginda bukan di kalangan golongan Yahudi dan Nasrani.

Ketika itu, kedua-dua kaum ini sering kali menggelarkan atau sebenarnya mengejek umat yang selain Yahudi dan Nasrani sebagai golongan ummi atau non-Yahudi dan non-Nasrani. Ini termasuklah Rasulullah dan orang Arab yang lainnya.

Malah dalam satu penjelasannya yang panjang, dapat kita ringkaskan apabila keturunan Arab melalui Nabi Ismail sebelum turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad, kaum ini tidak pernah diwahyukan dengan sebarang Kitab Allah.

Lantas kerana itu, kaum ini disebut sebagai kaum ummiyyuun atau ummiyyiin yang bererti "kaum yang belum pernah membaca atau menulis Kitab Allah".

Situasi ini yang menjadikan kaum Yahudi semasa zaman Jahiliah merendah-rendahkan kaum Arab sebagai kaum yang tidak mempunyai kitab.

Mereka begitu bermegah kerana dikurniakan kitab Taurat berbanding kalangan Arab yang tidak mempunyai apa-apa kitab itu.

Sindiran dan ejekan mereka itu mungkin dapat dilihat melalui surah ali-'Imran ayat 75: Tiada yang patut disalahkan bagi kami atas kaum ummiyyiin.

Ikuti penjelasan lanjut mengenai persoalan ummi di keluaran akan datang!

l Petikan daripada buku Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah

Tuesday, June 02, 2009

Jangan putus asa dari rahmat Allah

ARKIB Utusan Malaysia : 01/06/2009


OLEH PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud: "Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya". (Lata'if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.

Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-'Imran: 164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan "Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah", maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku".

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah... (al-Zumar: 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: "Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian".

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahu a'lam.

Penipuan iblis di syurga

ARKIB Utusan Malaysia : 29/05/2009

IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali dan menggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Pada suatu ketika, iblis berjaya masuk ke dalam syurga lalu bertemu dengan Nabi Adam dan isterinya.

Iblis mula menggoda dan memujuk Nabi Adam dengan berkata, "Wahai Adam! Aku datang untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku tunjukkan bahawa di sana itu ada sepohon pokok yang sangat enak dan lazat rasa buahnya?

Apabila buah yang lazat itu engkau makan, maka engkau akan dapat tinggal di dalam syurga ini buat selama-lamanya, dan syurga ini dapat engkau miliki sebagai satu kerajaan yang tidak akan rosak buat selama-lamanya bagi engkau berdua."

Buah

"Buah apakah yang engkau maksudkan itu?' tanya Nabi Adam kepada iblis.

Iblis pun menunjukkan ke arah pokok khuldi yang dilarang oleh Allah untuk memakannya. Melihat isyarat iblis itu, tahulah Nabi Adam bahawa Iblis sudah mulai menggoda dan menyesatkannya. Lalu Nabi Adam berpaling dan menjauhkan dirinya daripada iblis itu.

Namun begitu, iblis masih tidak berputus asa. Ia mengambil kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan Adam dan isterinya.

Segera ia memujuk dengan mengatakan bahawa Allah melarang makan buah khuldi sekiranya Adam dan isterinya adalah malaikat. Tetapi mereka bukan malaikat, maka bolehlah mereka memakan buah tersebut.

Nabi Adam dan isterinya tidak menghiraukan pujukan halus iblis itu. Malah kedua-duanya berpaling dan menjauhkan diri daripada Iblis itu.

Iblis tetap tidak berputus asa. Walaupun ia gagal dalam usaha pertama dan kedua, tetapi ia tetap berusaha untuk kali ketiga, keempat dan seterusnya sehinggalah dapat menyesatkan dan menggoda Nabi Adam dan isterinya, Hawa.

Iblis tahu bahawa salah satu kelemahan manusia ialah sering lupa. Iblis sentiasa menunggu suatu waktu apabila Adam dan isterinya akan terlupa dan memakan buah yang dilarang itu.