Monday, March 30, 2009

Irhas mengiringi kelahiran Muhammad

ARKIB Utusan Malaysia : 23/03/2009

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KEWAFATAN Abdullah, suami tercinta benar-benar ditangisi oleh Siti Aminah Wahab, lebih-lebih pemergian itu berlaku ketika beliau sedang sarat mengandung anak pertama mereka!

Namun seolah-olah tahu bahawa anak yang dikandung itu bukan calang-calang manusia yang akan dilahirkan ke dunia. Lalu Siti Aminah terpaksa membuang jauh-jauh kesedihannya itu kecuali tetap menguatkan diri dan perasaannya demi kebaikan anak dalam kandungan dan mahu melahirkan bayinya itu dengan selamat.

Malah terdapat kisah sebagaimana yang diceritakan oleh Siti Aminah sendiri; "Ketika kandunganku genap berusia enam bulan, datang seorang yang tidak ku kenali pada suatu malam dan berkata; Hai, Aminah, sesungguhnya puan sedang mengandungkan seorang pemimpin besar. Apabila bayi mu itu lahir kelak namakanlah dia dengan nama Muhammad!;" (sesetengah riwayat mengatakan Siti Aminah bermimpi mengenai anak dalam kandungannya itu).

Sehingga saat hendak melahirkan anaknya itu, Siti Aminah dikatakan tidak sedikit pun berasa gentar dan bimbang malah kita mendengar dalam banyak kisah, beliau dibidani oleh wanita-wanita yang didatangkan dari syurga, malah turut dibantu para bidadari itu sendiri.

Dikatakan wanita-wanita itu merupakan Siti Asiah, isteri kepada Firaun dan Siti Mariam, ibu Nabi Isa a.s. yang datang untuk membantu Siti Aminah melahirkan puteranya itu.

Lalu pada subuh Isnin 12 Rabiulawal, tahun pertama selepas peristiwa Tahun Gajah, maka lahirlah ke dunia ini, seorang anak yatim yang mulia..

Bayi yang dilahirkan itu tidak lain, tidak bukan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hisyam bin Abdul Manaf bin Qushaiy bin Kilaab bin Murrah bin Kaab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik Ibnu Nader bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudar bin Nizar (Hizar) Bin Maad bin Adnan, sehinggalah selanjutnya nasab keturunan Adnan ini bersambung kepada Ismail putra Ibrahim a.s.

Tidak sahaja kerana fajar mentari yang menyingsing bagi menyingkap pagi yang paling suci tetapi dikatakan kelahiran Nabi di penempatan Bani Hashim di Mekah itu terdapatnya sinar yang begitu menerangi sehingga ke pelosok negeri.

Ibnu Saad meriwayatkan bahawa ibu Rasulullah SAW pernah berkata: "Setelah aku melahirkan bayi ini keluar dari rahimku, maka bersamanya terdapat cahaya gemilang yang menerangi sehingga ke istana-istana di Syam."

Malah sejurus keputeraan Nabi Muhammad itu dikatakan terjadinya perkara-perkara luar biasa (irhas) sebagai tanda-tanda bahawa Rasulullah merupakan perutusan daripada Allah yang bakal mengubah apa yang selama ini telah sebati pada fizikal, mental, rohani dan akidah umat manusia kepada yang lebih baik lagi.

Dikatakan ketika Baginda lahir, empat belas lengkungan pintu gerbang Istana Kisra, milik Raja Parsi secara tiba-tiba telah runtuh, roboh dan pecah bertaburan, api biara yang selama berpuluh-puluh tahun tidak pernah padam, yang menjadi penyembahan kaum Majusi akhirnya gelap terpadam dan sehinggalah gereja-gereja di sekitar Bahirah runtuh secara tiba-tiba akibat ia mendap ke dalam bumi.

Jika alam semesta turut menyambut dengan gembira keputeraan Nabi Muhammad, apatah lagi kepada datuk Baginda, Abdul Mutalib yang sangat merasai kehilangan anaknya, Abdullah sebelum ini.

Sebaik Nabi Muhammad selamat dilahirkan, berita gembira kelahiran ini terus disampaikan kepada Abdul Mutalib yang ketika itu dikatakan sedang bertawaf di Kaabah kerana menantikan kelahiran cucunya itu.

Abdul Mutalib benar-benar gembira menerima berita kelahiran cucu laki-laki itu yang sekali gus mengingatkan beliau kepada anaknya, Abdullah.

Segera beliau menemui Siti Aminah untuk mengucapkan tahniah dan tanpa berlengah Abdul Mutalib menatang dengan penuh kasih sayang bayi yang baru lahir itu dan dibawanya terus menuju ke Kaabah.

Sesetengah riwayat menceritakan Abdul Mutalib membawa cucunya itu masuk ke dalam Kaabah. Di tempat sesuci itu, Abdul Mutalib berdoa kepada Allah memohon supaya cucunya itu diberi kemuliaan sepanjang hidupnya kelak. Lalu Abdul Mutalib menamakan bayi itu dengan permulaan yang cukup mulia iaitu; Muhammad yang bererti; yang terpuji! Iaitu satu nama yang masih agak asing di kalangan masyarakat Arab ketika itu.

Apabila mereka mengetahui bahawa anak itu diberi nama Muhammad, mereka tertanya-tanya mengapa Abdul Mutalib tidak suka atau mempertahankan nama nenek moyang.

Lalu Abdul Mutalib menjawab: "Ku inginkan anak ini akan menjadi seorang yang Terpuji bagi tuhan di langit dan bagi makhluk-makhluk-NYA di bumi!

Pada hari ketujuh kelahiran Rasulullah itu, sebagai tanda gembira dan bersyukur serta melaksanakan tanggungjawab sebagai datuk, Abdul Mutalib telah menyembelih unta dan dijamukan kepada seluruh penduduk Mekah, masyarakat Quraisy pada masa itu.

Malah walau sesetengah riwayat menyebut Nabi Muhammad telah dikhatankan sejak dilahirkan, namun pada hari ketujuh itu juga Abdul Mutalib telah mengkhatankan cucunya itu.

Bagi tidak membezakan si anak dengan anak-anak lain yang masih mempunyai ibu dan ayah, Nabi Muhammad benar-benar telah dilimpahkan dengan kekayaan kasih sayang walaupun daripada seorang yang bergelar datuk!

Namun tentunya anda sering mendengar bahawa keputeraan Nabi Muhammad SAW tidak lebih sebagai satu kelahiran seorang nabi palsu, iaitu satu tuduhan yang sangat jahat!

Iaitu satu konotasi sesetengah ajaran yang tercatat dalam kitab mereka yang menuduh Nabi Muhammd adalah antara "Banyak nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang."

Ini dilakukan apabila mereka tidak pernah menguji pengetahuan mengenai Nabi Muhammad.

Namun di celah-celah hasutan tersebut, seorang dari kalangan mereka mengemukakan sesuatu yang berbeza mengenai Rasulullah.

Seorang pemikir dan ahli sejarah terkemuka Inggeris, Thomas Carlyle (meninggal 1881) dari era atau zaman Victoria, dalam bukunya Heroes and Hero-worship (1841) dengan tegas menyatakan, "Pembohongan yang begitu semangat telah dituduhkan pada Muhammad (Nabi), adalah hanya menghinakan diri kita sendiri."

Menurutnya lagi, jika Nabi Muhammad itu nabi yang palsu, jangankan hendak menyebarkan agama, membina rumah pun Baginda tidak akan mampu!

"Nabi palsu mendirikan sebuah agama? Manakan mampu? Seorang yang palsu bahkan tidak akan mampu membangunkan sebuah rumah yang diperbuat daripada batu bata!

"Jika dia tidak tahu dan tidak mengikuti ilmu dan cara-cara membuat adunan simen, bata dan segala sesuatu yang berhubungan dengan itu. Bukannya rumah yang dapat Baginda dirikan, melainkan tidak lebih longgokan dan lambakan sampah sarap.

"Adakah sampah, jika agama yang dibawa oleh Muhammad itu dapat bertahan selama dua belas abad (sekarang abad ke 14), memiliki pengikut sebanyak 180 juta orang (sekarang lebih dari 1 bilion pengikut),

"Ajarannya akan hancur berantakan jika Muhammad itu nabi atau imam palsu!" tegas Carlyle.

Justeru, tuduhan kepalsuan Nabi Muhammad itu boleh dijawab dengan segala detik-detik sejarah kelahiran atau keputeraan Baginda sendiri yang ternyata bukan satu kelahiran yang biasa!

Saturday, March 28, 2009

Suruhan bermubahalah

ARKIB Utusan Melayu : 27/03/2009

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah".

Sebab nuzul ayat ke-59

Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: "Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: "Apa yang telah saya katakan?" Mereka berkata: "Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!"

Nabi SAW menjawab: "Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam".

Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: "Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh".

Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.

Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: "Jadilah engkau!" Maka jadilah ia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT.

"Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal".

ii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.

"Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan".

Sebab nuzul ayat 60

Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak.

"Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu.

"Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya".

Sebab nuzul ayat 61

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: "Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya".

Lalu kedua-duanya berkata kepada Nabi SAW, "Kami akan memberi tuan apa yang tuan minta". Oleh itu, kirimkanlah bersama kami seorang lelaki yang tuan amanahkan.

Lalu Nabi SAW bersabda: "Berdirilah engkau wahai Abu Ubaidah". Tatkala dia sudah berdiri lalu Baginda bersabda: "Inilah orang kepercayaan daripada umat ini (Islam)".

Abu Nu'aym meriwayatkan dalam kitab al-Dalail, daripada Ibn Abbas, "terdapat lapan orang Nasrani Najran datang kepada Rasulullah SAW. Antara mereka, terdapat seorang pelayan dan majikan. Lalu Allah SWT berfirman, Katakanlah, mari…, lalu mereka berkata, "Berilah kami tempoh tiga hari".

Mereka kemudiannya pergi kepada kaum Yahudi Quraizah, Nadr dan Qainuqa'. Lalu mereka memberi isyarat agar mengadakan perdamaian dan jangan mengadakan sumpah saling mengutuk dengan Baginda. Mereka berkata, "Dialah Nabi yang kita temui di dalam Taurat kerana itu adakanlah perdamaian dengan Baginda dengan bayaran sebanyak 1,000 helai pakaian dibayarkan pada bulan Safar dan 1,000 lagi pada bulan Rejab serta beberapa dirham".

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memilih Fatimah, Ali dan kedua-dua puteranya untuk mengerjakan mubahalah ini. Baginda kemudiannya keluar bersama mereka, sambil bersabda, "Jika aku membaca doa, hendaklah kamu mengaminkannya".

Ibn Asakir meriwayatkan daripada Ja'far daripada bapanya, bahawa ketika ayat ini turun, beliau membawa Abu Bakar r.a bersama seorang anaknya, Umar r.a., bersama seorang anaknya, dan Uthman r.a bersama seorang anaknya. Tidak diragukan daripada ayat ini orang akan memahami bahawa Nabi SAW menyuruh golongan Ahli Kitab yang memperdebatkan peristiwa Nabi Isa dengan kaum mukmin agar mengumpulkan kaum lelaki, wanita dan anak-anak daripada kalangan mereka.

Nabi SAW juga mengumpulkan orang yang beriman, kaum lelaki, wanita dan anak-anak untuk melakukan doa mubahalah, iaitu memohon laknat ditimpakan kepada orang yang berdusta dalam persoalan Nabi Isa ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Dalam ayat di atas perkataan anak-anak soleh dan isteri disebut terlebih dahulu daripada dirinya sendiri. Padahal seseorang sentiasa memikirkan nasib anak dan isterinya, sebenarnya adalah untuk menyatakan betapa Nabi SAW telah berasa aman, memiliki kepercayaan yang penuh dan keyakinan yang teguh dengan kebenaran misinya, hinggakan Baginda menaruh kepercayaan sesuatu misbah yang tidak diinginkan akan menimpa mereka.

"Ayat ini dinamakan ayat mubahalah, ertinya berdoa agar musuhnya mendapat laknat Allah".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini diletakkan setelah ajakan memanggil anak dan isteri dan sebelum bermubahalah. Ini memberi isyarat bahawa Nabi SAW masih memberi kesempatan waktu yang relatif tidak singkat kepada yang diajak itu, untuk berfikir menyangkut soal mubahalah, kerana akibatnya sangat fatal".

iii. Hamka berkata: "Mubahalah ialah bersumpah yang berat. Di dalam sumpah itu dihadirkan anak dan isteri dari kedua pihak yang bersangkutan, lalu diadakan untuk mempertahankan kebenaran masing-masing.

"Jika kedua belah pihak masih tidak mengalah dan bertolak ansur maka tunggulah laknat-Nya kepada siapa yang masih mempertahankan pendirian yang salah. Inilah ajakan Rasulullah SAW kepada utusan-utusan Najran yang mempertahankan Nabi Isa adalah putera Allah SWT.

"Ayat mubahalah adalah pembuktian antara yakin dan teguhnya orang Islam pada iman dan kepercayaannya. Keyakinan Tauhid adalah pegangan seluruh keluarga untuk mempertahankan diri hidup atau mati demi menegakkan kebenaran".

Iktibar dan fiqh ayat ke-62:

i. Al-Qurtubi berkata: "Isyarat pada sesungguhnya ini, kembali kepada al-Quran dan apa yang terkandung daripada kisah-kisah. Di namakan kisah kerana segala makna ikut mengikuti antara satu sama lain".

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Jika datang kisah daripada tuhan yang satu, maka kita yakin bahawa tiada lagi di sana Tuhan yang lain mendatangkan dengan kisah-kisah yang lain".

iii. Al-Sonhadji berkata: "Ayat ini dijadikan hujah menolak dakwaan orang-orang Nasrani yang mengatakan, Allah SWT itu Tuhan yang ketiga dari tiga serangkai. Dan sesungguhnya Allah itu adalah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Yakni tidak ada yang lebih perkasa dan lebih bijaksana daripada-Nya, dan tidak ada yang layak untuk menandingi-Nya selain Allah sendiri".

Iktibar dan fiqh ayat ke-63:

i. Ibn Kathir berkata: "Allah menutup ayat ini dengan menjelaskan siapa yang menyeleweng daripada kebenaran kepada kebatilan maka dialah yang sebenarnya merosakkan di muka bumi. Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan pasti membalas perbuatan mereka kerana Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya.

ii. Hamka berkata: "Tasamuh (toleransi) beragama ini adalah dasar dari dakwah Islam. Yang menentukan petunjuk bagi manusia , bukanlah manusia melainkan Allah SWT. Tetapi orang tidaklah boleh berhenti mengadakan dakwah.

"Suatu toleransi tidak disertai dengan perluasan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, berani berhadapan dengan pemeluk agama yang lain dengan mengadakan mubahalah. Sesungguhnya keberanian itu tidak akan wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri".

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas betapa rosaknya golongan Yahudi dan Nasrani apabila mempertuhankan Nabi Isa sedangkan apabila di ajak bermubahalah mereka begitu gentar dan takut seperti yang terjadi kepada golongan Nasara Najran.

Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan dan menjadikan kita sentiasa istiqamah. Amin.

Gadis yang terbakar tangannya

ARKIB - Utusan Malaysia : 27/03/2009

PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"

"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.

Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."

"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.

"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.

"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.

"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".

Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Tuesday, March 24, 2009

Rasulullah pakar risik dan strategi

ARKIB Utusan Malaysia : 23/03/2009

Oleh ZAINAL A. JALIL

DAN tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya': 107)

Secara umumnya memang Baginda diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat yang besar bagi kesejahteraan umat manusia di dunia dan akhirat.

Pun begitu, 'rahmat' itu sebenarnya turut meliputi kepimpinan Baginda sebagai pakar strategi dan perisikan. Dalam ruangan yang terbatas ini, memadailah jika diambil peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah pada 622M.

Ini kerana ia merupakan satu momentum dan titik tolak kepada kejayaan penyebaran Islam di seluruh tanah Arab dan seluruh dunia kemudiannya. Dalam peristiwa tersebut jelas betapa genius dan pintarnya baginda dalam mengatur strategi dan membuat perisikan sebelum tugas hijrah yang suci itu dilaksanakan.

Perkataan 'strategi' berasal daripada perkataan Greek strategos, iaitu istilah ketenteraan untuk menerangkan kemahiran seorang panglima perang.

Ia merujuk kepada perancangan seorang panglima perang mengatur pasukannya dengan matlamat menewaskan pihak musuh. Carl von Clausewitz, ahli teori seni perang di abad ke-19, menyatakan strategi sebagai usaha merangka perancangan perang dan membentuk kempen individu termasuklah membuat keputusan penglibatan individu tersebut (The Essentials of Strategy, 2006: xiii).

Dalam lain perkataan, jika hijrah ke Madinah menjadi objektif, maka di sini strategi ialah cara mana Rasulullah boleh melakukannya dengan jaya.

'Perisikan' pula bermaksud hasil maklumat yang telah diproses dan boleh digunakan untuk sesuatu tujuan. Ia berbeza dengan 'maklumat' yang merupakan bahan mentah yang belum diproses bagi menghasilkan perisikan.

Ia mempunyai lima peringkat iaitu perancangan, pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan bahan tersebut, penganalisisan dan akhirnya penyebaran hasil perisikan tersebut kepada pihak yang memerlukannya.

Apakah benar elemen-elemen strategi dan perisikan wujud dalam peristiwa hijrah tersebut?

Dari segi strategi, ia boleh dikesan menerusi analisis SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan ancaman (threat).

Faktor kekuatan di sini ialah kesediaan penduduk Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib) menyambut kedatangan Baginda. Ini berikutan beberapa rombongan dari kota tersebut yang telah menemui Baginda di Aqabah, Mina pada 621M terdiri daripada 12 lelaki daripada suku Aus dan Khazraj. Ia dikenali sebagai Baiah Al-'Aqabah Pertama.

Ini diikuti oleh Baiah Al-'Aqabah Kedua pada Jun 622M di mana melibatkan kira-kira 70 orang Madinah yang menunaikan ibadah haji (Safiyyu Al- Rahman Al- Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah, 2008: 207 dan 211). Mereka berjanji tidak mempersekutukan Allah, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak mereka dan tidak menentang Baginda.

Kekuatan yang lain ialah kebijaksanaan Rasulullah memilih Gua Thur sebagai tempat persembunyian semasa berhijrah. Ini kerana posisi gua tersebut terletak di Selatan Mekah, bukan jalan menuju Madinah dan ia boleh mengelirukan pihak musuh. Lebih-lebih lagi gua tersebut agak tinggi, mempunyai jalan yang bengkang bengkok dan sukar didaki. Baginda juga menuju Madinah menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh penduduk Mekah.

Dari aspek kelemahan hijrah ke Madinah ini ialah Rasulullah dan Saidina Abu Bakar akan menempuh jalan yang sulit dan banyak rintangan. Ia bukan sahaja sukar dilalui, tetapi terdedah kepada risiko lapar dan dahaga serta penuh kegelapan. Mereka juga mudah terdedah kepada ancaman suku kaum yang tidak dikenali di sepanjang perjalanan.

Dari aspek peluang pula, Rasulullah telah menjangkakan Madinah adalah lokasi yang terbaik untuk memantapkan penyebaran agama Islam. Di situ, Baginda dan golongan Muhajirin akan kurang diganggu dan ditindas oleh kaum Quraisy Mekah.

Aspek ancaman semasa berhijrah datangnya daripada bangsa Yahudi di Madinah. Ini kerana mereka menganggap menjadi bangsa terpilih oleh Allah SWT. Sebaliknya Nabi Muhammad, daripada bangsa Arab. Ini menyebabkan mereka merasa iri hati. Mereka mengadakan konspirasi dengan golongan munafik dan Quraisy Mekah.

Bagaimanapun ancaman tersebut dapat ditangani apabila Rasulullah mengadakan perjanjian dengan mereka. Baginda bertindak tegas apabila berlaku perlanggaran syarat perjanjian. Peralatan perang mereka dirampas dan ini melemahkan kekuatan ketenteraan mereka.

Bagaimana pula dari aspek perisikan? Rasulullah sememangnya telah merancang hijrah ke Madinah secara teratur, walaupun tidak dinafikan ia memang merupakan perintah Allah. Baginda mempunyai fakta bahawa Madinah mempunyai keistimewaan dari segi geografi, politik, ekonomi, mahupun sosial.

Madinah terletak dalam kawasan perjalanan kabilah dari Sham dan Yaman. Dari arah timur, Madinah bercantum dengan padang pasir Najd sehingga ke Iraq. Dari arah barat pula, kota tersebut bercantum dengan Laut Merah. Ia dikelilingi oleh pokok-pokok dan tanaman yang rendang, dengan ini boleh menjadi pertahanan perang semula jadi. Kota itu juga mempunyai tanah yang subur dan mempunyai dua lembah yang dilimpahi air.

Rasulullah juga mempunyai sumber perisikan dan pembantu yang dapat melicinkan lagi pelaksanaan hijrah ke Madinah. Dalam istilah perisikan ia dikenali sebagai HUMINT (human intelligence).

Antaranya ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menemani Baginda sepenuh masa sewaktu berhijrah. Begitu juga Ali bin Abi Talib r.a. yang menggantikan Baginda di tempat tidur pada malam hijrah. Pembantu lain ialah Asma' anak perempuan Abu Bakar yang menguruskan bekalan makanan.

Ini diikuti Abdullah anak lelaki Abu Bakar yang mencari maklumat perisikan. Pada sebelah siang beliau keluar mencari maklumat yang menjadi isu percakapan orang ramai, kemudian melaporkan kepada Baginda dan bapanya pada sebelah malam.

Ini dimantapkan lagi oleh Amir bin Fuhairah, hamba kepada Abu Bakar yang menjadi gembala ternakan. Beliau membantu persembunyian di Gua Thur, di samping mengelirukan pihak musuh. Pada sebelah siang beliau menggembala ternakan di Mekah tetapi pada sebelah petang membawa kambing ke tempat persembunyian untuk membekalkan susu kepada mereka.

Seterusnya mendapat perkhidmatan seorang penunjuk jalan yang mahir dengan situasi kawasan dan jalan untuk berhijrah. Walaupun Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik, tetapi amanah dan taat menyimpan rahsia.

Rasulullah juga sentiasa menganalisis maklumat perisikan yang diterima. Beliau tidak mahu terbuai dengan kuantiti pengikut, padahal yang lebih penting ialah kualiti mereka. Bagi mempastikan pengikutnya berhijrah ke Madinah dengan niat yang ikhlas, bukannya disebabkan agenda tertentu sama ada tujuan keduniaan atau untuk menikahi seseorang perempuan.

Ini jelas daripada hadis Baginda, Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia diniatkan. Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Wanita yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah Ummi Qais yang memberi syarat kepada seorang sahabat bahawa beliau bersedia menjadi isteri sekiranya lelaki itu berhijrah ke Madinah.

Baginda juga sentiasa membuat tindakan follow-up dan follow-through terhadap sokongan yang telah dijanjikan. Contohnya, baginda mengutus seorang sahabat, Mush'ab bin Omar kepada rombongan dari Yathrib (Madinah) yang berjanji setia dengan Baginda, di samping mengajarkan al-Quran dan agama Islam.

Baginda juga sentiasa memantau pergerakan orang yang memeluk Islam bukan kerana ikhlas tetapi kerana muslihat tertentu. Golongan munafik ini diketuai oleh Abdullah bin Ubai.

Sebagai contoh Baginda mengetahui sepucuk surat sulit yang dihantar kaum Quraisy Mekah kepada Abdullah supaya memerangi Baginda dan golongan Muhajirin. Baginda berjaya mengagalkan konspirasi itu, hasil maklumat perisikan yang diterima.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah jelas bahawa Nabi SAW menggunakan strategi dan perisikan semasa berhijrah ke Madinah.

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

Lantas, sepatutnya umat Islam mencontohi Baginda menjadi umat kelas pertama yang menguasai bukan sahaja kedua-dua bidang tersebut. Bahkan merangkumi bidang lain seperti informasi, teknologi, politik dan ekonomi dalam dunia yang sentiasa bersaing dan mencabar ini.

Saturday, March 21, 2009

Al-Quran sentiasa terpelihara

ARKIB Utusan Malaysia : 20/03/2009

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara). (ali-‘Imran: 56-58)

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat ini merupakan kesinambungan daripada kisah yang terdahulu iaitu peperangan yang berlangsung antara kebaikan dan kejahatan".

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Selepas Allah menjelaskan bagaimana ganjaran yang akan diperolehi Isa a.s, maka Allah menyatakan balasan yang menanti orang-orang kafir yang melakukan dan merestui tipu daya terhadap beliau serta ganjaran yang menanti orang yang beriman".

Ayat ke-56

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: "Maksud mereka yang kafir dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani dan azab yang ditimpa ke atas mereka di dunia dengan pedang dan jizyah sedangkan di akhirat dengan api neraka".

ii. Al-Qurtubi berkata: "Azab yang dikenakan terhadap orang kafir dengan pembunuhan disalib, ditawan dan dikenakan jizyah sedangkan di akhirat dikenakan azab neraka".

iii. Al-Maraghi berkata: "Orang Yahudi yang mendustaimu akan Aku jatuhkan seksaan ke atas mereka ini dengan pelbagai seksaan di dunia, seperti pembunuhan, menjadi tawanan dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Sedangkan, seksaan di akhirat nanti lebih dahsyat dan lebih memedihkan. Pada saat mereka tidak akan menemui sebarang penolong pun, sebagaimana mereka tidak menemukannya ketika di dunia ini".

iv. Hamka berkata: "Ajaran agama bukanlah semata-mata untuk keselamatan akhirat sahaja bahkan terlebih dahulu seksaan dunia akan dirasainya. Di dalam ilmu akhlak diterangkan betapa hidup yang lurus di dunia dengan kebersihan akhlak, moral dan mental.

"Tanggungjawab kepada Allah SWT dan juga pada manusia. Kekayaan, pangkat dan jabatan yang tinggi, harta benda yang melimpah ruah dan kekuasaan yang dirasai tidak akan dapat menolong menyelubungi seksaan batin kerana memilih jalan yang sesat".

Ayat ke-57

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT tidak menyukai seseorang yang menzalimi hak orang lain, atau melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya.

"Oleh kerana itu bagaimana Dia boleh membuat zalim ke atas hamba-Nya, sedangkan Dialah memberi balasan kepada hamba-Nya dengan sewajarnya".

Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah SWT terhadap orang yang kafir kepada-Nya dan juga kepada Rasul-rasul-Nya. Sebaliknya ia merupakan khabar gembira kepada orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul-rasul-Nya.

ii. Hamka berkata: "Orang-orang soleh akan diberi ganjaran dengan sempurna di dunia sampai akhirat. Bila iman sudah sebati di dalam jiwa, segala amalan untuk kebaikan mudah dilakukan maka di akhirat kelak syurga balasan untuk mereka yang beriman kepada Allah SWT".

Ayat 58

Firman Allah SWT yang bermaksud : Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (Wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).

Iktibar dan fiqh ayat :

i. Ibn Abbas r.a berkata: "Maksud zikir al-Hakim ialah al-Quran".

ii. Al-Zajjaj berkata: "Makna zikir al-Hakim pada susunan dan nazamnya serta menerangkan segala faedah daripadanya".

iii. Ibn Kathir berkata : "Ini yang kami kisahkan kepadamu hai Muhammad berkenaan dengan perihal Nabi Isa sejak kelahirannya dan apa yang Allah wahyukan kepadanya tanpa syak dan ragu lagi".

iv. Al-Maraghi berkata: "Kisah dalam al-Quran yang menjelaskan pelbagai pengajaran daripada cerita dan hukum memberi petunjuk kepada orang beriman mengenai inti pati agamanya, pemahaman syariat dan rahsia dikumpulkan manusia pada hari kiamat.

"Ayat-ayat ini akan menjadi hujah terhadap rombongan Nasrani Najran yang membantahnya dan Yahudi Bani Israel yang mendustakannya serta kebenaran yang kamu bawa kepada mereka".

v. Hamka berkata: "Telah diceritakan betapa Bani Israel, tegasnya Yahudi mencuba segala tipu daya mereka hendak menjerumuskan Nabi Isa ke dalam lembah kesengsaraan.

"Bahkan hendak membunuhnya sekali kerana mereka telah kafir dan tidak mahu menerima risalah Nabi Isa. Mereka gagal berbuat demikian kerana Allah SWT telah memuliakan Nabi Isa a.s dan memeliharanya".

Daripada ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan sewajarnya kita menempatkan Nabi Allah Isa pada tempatnya dengan berpandukan kepada ayat-ayat Allah. Semoga kita menjadi hamba yang beriman dan berpegang kepada kebenaran. Amin.