Sunday, May 15, 2011

Hanzalah berjihad walau baru nikah

ARKIB Utusan : 11/05/2011


SEORANG lagi pahlawan Islam yang jihad bermati-matian ketika Perang Uhud ialah Anas bin Nadhar. Beliau tidak dapat menyertai Perang Badar sebelum ini kerana masih terlalu muda.

Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang Uhud, beliau sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang.

Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.

Namun akhirnya Anas mati syahid. Namun dikatakan beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat, iaitu Saad bin Muaz sebelum mengakhiri nafasnya.

"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak di kaki bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad, selamat tinggal," ujar Anas.

Seorang lagi pahlawan Uhud yang mempunyai kisah yang menyentuh perasaan ialah Hanzalah Al Ghasil bin Abu Amir. Hanzalah dikatakan baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang sangat jelita.

Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan Uhud, Hanzalah dikatakan terus bergegas meninggalkan isteri dalam dakapannya semata-mata untuk menyahut seruan jihad.

Apabila berhadapan dengan musuh di medan perang, Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh dengan membunuh ramai di kalangan anggota tentera Quraisy sehingga membuka jalan kepada beliau yang akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima perang Quraisy.

Hanzalah dikatakan hampir berjaya membunuh Abu Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.

Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai perang dalam keadaan basah seluruh badannya.

Rasulullah menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja dimandikan oleh para malaikat kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah masih dalam keadaan berjunub.

Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.

Namun Rasulullah sendiri juga tidak kurang hebatnya sebagai seorang pahlawan yang tidak sahaja berlawan malah mampu mengalahkan musuh.

Dalam satu peristiwa ketika berlangsung perang itu, iaitu di saat-saat akhir sebelum perang tamat, telah tersebarnya berita kononnya Rasulullah terkorban.

Namun apabila mendapat tahu baginda sebenarnya masih hidup, seorang anggota tentera di pihak musuh bernama Ubai bin Khalaf terjerit-jerit mencari baginda Rasulullah.

"Di mana orang yang mengaku dirinya itu seorang nabi? Andai dia seorang yang berani, keluarlah bertarung dengan aku, satu lawan satu sehingga salah seorang terkorban.

"Di manakah Muhammad? Aku sendiri malu untuk meneruskan hidup jika membiarkan si Muhammad ini terus hidup," kata Ubai dengan sombong dan bongkak.

Mendengarkan cabaran Ubai itu, ramai pahlawan dan sahabat baginda yang menawarkan diri untuk membunuh Ubai bagi pihak baginda.

Namun baginda meminta diberi ruang untuk baginda sendiri berhadapan dengan Ubai.

Sebaik sahaja Ubai melihat kemunculan baginda maka tanpa ditunggu-tunggu lagi dia pun terus memacu kudanya dengan deras untuk menyerang baginda.

Lalu baginda pun meminta sebilah lembing yang sedang dipegang oleh Harith bin Syimmah. Sebaik sahaja Ubai semakin menghampiri baginda maka dengan pantas dan sekuat-kuat tenaga baginda melontarkan lembing itu ke arah Ubai.

Lembing itu tepat sasarannya mengenai leher Ubai sehingga tembus. Ubai mati tersungkur dalam keadaan berlumuran darah.

Hebatnya pahlawan Islam berjuang

ARKIB Utusan: 11/05/2011

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

BAPA saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib benar-benar seorang pahlawan Islam sejati walaupun akhirnya tumpas dan syahid di tangan musuh di Perang Uhud.

Sebelum syahid, belaiu berjaya membunuh lebih 30 tentera kafir dalam perang itu. Bayangkan berapa ramai lagi yang bakal tewas di tangannya andai beliau tidak syahid di tangan hamba kulit hitam Warsyi bin Harb.

Kehebatan Assadullah atau Singa Allah itu benar-benar tiada tandingannya dan sangat dikagumi!

Tetapi sayangnya sejauh mana generasi terutama yang muda Islam hari ini mengenali Saidina Hamzah berbanding nama 'pahlawan' yang kebanyakannya tidak pernah wujud pun di muka bumi ini.

Malah direka dengan tokok tambah segala macam kekuatan dan kehebatan sedangkan kesemua 'pahlawan' itu wujud atas nama animasi kartun dan lakonan untuk melariskan jualan tiket-tiket wayang.

Kehebatan Saidina Hamzah wajar 'dijual' supaya lebih ramai lagi 'Singa-Singa Allah' sepertinya dapat kita lahirkan.

Ia antara lain membuktikan bahawa jumlah musuh yang ramai bukan penyebab umat Islam mengaku kalah dalam perjuangan. Sebaliknya, perlu kuat persis Saidina Hamzah yang relatifnya adalah manusia biasa, tetapi atas nama jihad dan mengharapkan syurga Allah, maka satu demi satu musuh ditumpaskan.

Perang Uhud memang benar-benar mengumpulkan ramai pahlawan Islam yang terbilang. Tetapi yang terbilang selain dari Saidina Hamzah ialah Abu Dujanah seperti yang diceritakan sebelum ini.

Kecuali Abu Dujanah yang menampakkan ciri pahlawan yang menggerunkan musuh dengan melilitkan serban merah di kepalanya, pahlawan-pahlawan Islam yang lain mungkin kelihatan begitu 'sederhana'.

Lebih bersifat tawaduk dan rendah diri malah mungkin mempunyai susuk badan yang kecil tetapi kekuatan yang dipamerkan adalah sangat luar biasa.

Salah satu kisah menarik, apabila seorang pahlawan musuh bernama Thalhah dengan sombong dan bongkak mencabar mana-mana pahlawan Islam berlawan dengannya pada peringkat awal sebelum Perang Uhud meletus.

"Siapa yang mahu bertanding berlawan dengan aku," teriak Thalhah.

Apabila tiada pahlawan Islam yang mahu menyahut cabarannya, Thalhah pun terus menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati pasukan tentera Islam.

"Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu menyangka Tuhan akan menghantar kami ke neraka dengan pedang kamu dan menghantar kamu ke syurga dengan pedang kami!

"Siapakah antara kamu yang akan mempercepatkan kami ke neraka dengan pedangnya? Atau pun kami akan mempercepatkan kamu ke syurga dengan pedang kami?

"Sungguh, kamu berdusta. Demi Latta dan Uzza, sekiranya kamu semua betul-betul percaya begitu, keluarkanlah seorang daripada kamu kepada kami sekarang," teriaknya.

Disebabkan kata-kata yang angkuh itu, sahabat besar Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib pun keluar menyahut cabaran si Thalhah. Tanpa membuang masa, menantu Rasulullah itu menyerang Thalhah dengan sekali libasan pedangnya sahaja berjaya mencederakan kaki pahlawan Quraisy itu sehingga menyebabkan dia cedera parah dan terjatuh tanpa sempat melawan.

Ali kemudiannya meninggalkan Thalhah begitu sahaja yang tidak mati walaupun kakinya putus akibat libasan pedangnya.

Rasulullah bertanya mengapa Saidina Ali tidak terus membunuh sahaja musuh yang begitu sombong mencabar tentera Islam itu.

"Thalhah kini begitu malu dengan kata-katanya dan saya kasihan dan tidak sampai hati membunuhnya," jawab Ali dengan penuh makna.

Dikatakan, sebelum pasukan musuh bertempur secara besar-besaran dengan tentera Islam, hampir 12 pahlawan Quraisy berjaya dibunuh oleh para pahlawan Islam dalam adegan atau pertarungan satu lawan satu.