Thursday, July 05, 2012

Malam Nisfu Syaaban

ARKIB UTUSAN : 03/07/2012

SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: "Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar."


Malam pengampunan

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."

Imam al-Auza'i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan ummah (Muhammad SAW).

Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani': Saya bertanya Ibnu Thauban tentang maknamusyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah mereka.

Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."

Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata: "Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain."

Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud AS "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya."

Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka."

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.

"Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."

Mustajab doa
Abu Sa'id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata, "Wahai Abu Sa'id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW."

Berkata Abu Sa'id RA, "Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: "Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku."

Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: "Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?" Aisyah berkata, "Saya berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah!" Sabda Baginda: "Telah datang kepada saya Jibril AS dan berkata, "Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."

Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang dibacanya, maka Baginda bersabda, "Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya?" Saya berkata, "Ya." Baginda bersabda, "Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud."

Friday, March 30, 2012

Tentera Islam tawan Khaibar

BICARA AGAMA - ARKIB Utusan Malaysia : 28/03/2012
Susunan SITI AINIZA KAMSARI



Sebaik sahaja ternampak kebun-kebun milik penduduk Yahudi Khaibar yang penuh dengan pohon-pohon tamar, tentera Islam semakin berkobar untuk menawan Khaibar. - gambar hiasan


TIDAK sahaja si munafik, Abdullah bin Ubay yang bertindak jahat dengan memberitahu Yahudi di Khaibar tetapi saki baki keturunan Yahudi Bani Qainuqa yang masih ada di Kota Madinah juga memberitahu mengenai pergerakan Rasulullah dan para tentera baginda untuk menyerang Khaibar.

Mereka memberi amaran mengenai kedatangan tentera Islam dan mengarahkan supaya musuh segera bersiap sedia menghadapi serangan.

Semua ini diketahui oleh Rasulullah. Tetapi ia bukan penghalang kepada baginda untuk meneruskan kemaraan.

Tidak dinafikan berita yang sampai itu menyebabkan seluruh kaum Yahudi yang mendiami Khaibar terus melakukan persiapan dan persediaan untuk menghadapi tentera Islam. Tetapi yang menjadi persoalan adakah mereka perlu bertahan di kubu-kubu sahaja atau keluar untuk menyerang tentera Islam.

Lalu sebagai pemimpin kaumnya, Sallam bin Musykin berkata: "Tidak ada kaum yang diserang di tempat mereka sendiri melainkan bersifat penakut dan suka dihina. Kalau begitu, biar kita sahaja yang menyerang mereka.

"Kita sudah ada persiapan. Kita gerakkan tentera kita ke Madinah. Kalau kita terbunuh, Khaibar masih selamat. Kalau kita menang kita bawa balik harta rampasan. Kalau kita tunggu kedatangan mereka, kita akan menghadapi masalah."

Namun cadangan Sallam itu ditolak kerana mereka lebih memilih untuk mempertahankan Khaibar dengan bertahan di sebalik kubu-kubu yang dibina kukuh.

Dalam pada itu jika dilihat pada jumlah anggota tentera di pihak Yahudi Khaibar itu, mereka sebenarnya telah 'menang'.

Berbanding tentera Islam yang hanya seramai 1,000 orang, bilangan di pihak Yahudi berlipat kali ganda kerana mereka berjaya mengumpulkan 10,000 anggota tentera.

Begitupun, mereka sebenarnya tetap gentar dan bimbang untuk menghadapi tentangan dan serangan daripada tentera Islam. Mereka sedar kekuatan sebenar yang dimiliki oleh tentera Islam, walaupun jika dilihat daripada segi angka, jumlahnya sangat kecil yang lazimnya sangat mudah untuk dikalahkan.

Lalu pihak Yahudi berusaha mendapatkan bantuan anggota tentera tambahan terutama dari kalangan Arab lain yang masih mempunyai cita-cita menentang Rasulullah.

Setelah beberapa puak Arab menolak permintaan daripada Yahudi kerana sedar kini akan kekuatan yang dimiliki oleh tentera Islam, namun terdapat satu puak Arab yang sedia membantu mereka.

Bani Ghatafan yang merupakan puak Arab yang diketuai oleh Uyaynah bin Husn atau lebih dikenali sebagai Al Ahmaq al Muta' sedia menawarkan anggota tentera tambahan.

Uyaynah disifatkan sebagai seorang ketua yang bodoh tetapi ditaati oleh para pengikutnya.

Sebelum ini, puak Arab Ghatafan itu pernah menentang Rasulullah dalam perang Ahzab dan akibat masih tidak berpuas hati apabila kemenangan tidak berpihak kepada pihaknya, Uyaynah kembali bangun menentang Rasulullah.

Jika dahulu dia sanggup bersekongkol dengan tentera Quraisy Mekah, kali ini Uyaynah sanggup berkerjasama dengan pihak Yahudi, asalkan cita-citanya untuk menghancurkan Islam tercapai.

Uyaynah terus menghantar 1,000 anggota tentera dengan tambahan 4,000 orang lagi untuk membantu Yahudi Khaibar.

Tentu sahaja pihak Yahudi sangat gembira dengan bantuan yang dihulurkan oleh Bani Ghatafan itu, sekali gus memberikan mereka semangat untuk melawan pihak Islam.

Ketika Raulullah dengan bala tentera Islam bergerak menuju ke Khaibar, keadaan yang menantikan mereka ialah 10,000 anggota tentera Yahudi dengan tambahan 1,000 tentera dari Bani Ghatafan.

Ini bererti 11,000 tentera sedang menunggu tentera Islam dan 4,000 lagi anggota tentera tambahan dari Puak Ghatafan sedang bergerak dan berada di belakang tentera Islam.

Kedudukan tentera Islam agak bahaya jika kedua-dua belah pihak musuh yang berada di hadapan dan di belakang mereka itu membuat serangan serentak.

Begitupun, baginda berjaya memintas perjalanan dengan strategi menyerang Khaibar melalui arah Syam. Ini supaya pihak musuh tidak akan dapat lari ke Syam atau mereka dalam keadaan terkepung.

Pada masa itu juga Rasulullah menghantar wakil kepada Uyaynah meminta supaya dia dan seluruh bala tenteranya menarik diri daripada menyertai peperangan. Namun usaha tersebut sia-sia.

"Tidak ada perbincangan lagi antara kita kecuali dengan pedang, yakni perang," katanya Uyaynah.

Apabila berita itu diberitahu kepada Nabi Muhammad, baginda pun berlapang dada dengan berkata: "Kita berserah sahaja kepada Allah. Allah sahajalah sebaik-baik pembela!"

Thursday, January 26, 2012

Taubat Abu Lubabah

ARKIB Utusan Malaysia - 25/01/2012

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

AKHIRNYA tiada satu pun cadangan-cadangan dari Kaab yang merupakan pemimpin kaum Yahudi Bani Quraizah yang sedang dikepung oleh tentera Islam itu diterima oleh anak-anak buahnya.

Sebagai pemimpin, Kaab sangat kesal sedangkan keadaan menjadi semakin runcing tetapi jalan keluar masih tidak ditemui.

Lalu Kaab pun menyerahkan kepada anak-anak buahnya menentukan nasib mereka sendiri.

Akhirnya, mereka beroleh satu cadangan yang dirasakan akan dapat mengeluarkan mereka dari kepungan tentera Islam.

Mereka setuju menghantar seorang wakil atau utusan dari Bani Quraizah kepada Nabi Muhammad. Tujuannya, bukan melakukan sebarang perbincangan damai secara terus dengan baginda, sebaliknya meminta kebenaran menghantar wakil dari pihak Islam untuk berunding dengan mereka.

Mereka meminta supaya Abu Lubabah atau nama sebenarnya Mubsyir bin Abdul Munzir daripada suku kaum Aus yang antara terawal memeluk Islam dihantar kepada Bani Quraizah untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Mungkin kerana Abu Lubabah sebelum ini terkenal sebagai individu yang banyak menjayakan perjanjian dan tolong menolong dengan kaum Yahudi Bani Quraizah, maka beliau lebih dipercayai oleh kaum itu.

Beliau seorang yang bijak. Buah fikirannya sentiasa bernas. Sebab itu digelar Abu Lubabah, bererti bapa yang berfikiran baik yang juga seorang yang rapat dengan Nabi SAW. Maka tentulah kata-katanya tidak akan ditolak oleh baginda.

Walaupun ada kalangan para sahabat yang lain membantah dan meminta baginda menolak sahaja permintaan wakil Bani Quraizah itu, namun baginda masih memberi peluang.

Lalu dimaklumkan kepada Abu Lubabah supaya pergi menemui kaum Yahudi itu untuk berunding pada keesokan paginya.

Keesokan harinya Abu Lubabah seorang diri memasuki perkampungan Bani Quraizah. Beliau disambut dengan penuh penghormatan dan mendapat layanan yang cukup baik.

Dikatakan beliau terus dibawa di mana semua kaum wanita dan kanak-kanak Bani Quraizah dikumpulkan.

Apabila melihat kedatangan Abu Lubabah itu, seluruh kaum wanita itu menghampirinya dan terus meratap dan menangis sambil merayu-rayu supaya meminta Nabi Muhammad membebaskan mereka daripada kepungan itu.

Ini kerana mereka telah kehabisan bekalan makanan yang menyebabkan anak-anak mula menangis kelaparan dan jatuh sakit.

Agak tersentuh hati Abu Lubabah menyaksikan ratap tangis kaum wanita dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.

Tetapi mengenangkan perbuatan bapa kanak-kanak tersebut yang mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad yang menyebelahi pihak musuh dalam perang Khandaq, Abu Lubabah kembali marah dan kesal kepada kaum tersebut.

"Kebodohan kamu yang menyebabkan anak-anak kamu menjadi mangsa dan menderita, jika kamu tidak berpaling tadah tentulah tidak jadi begini," kata Abu Lubabah.

Sungguh kesal

Mengakui akan kesilapan tersebut lalu Kaab pun menyerahkan kepada kebijaksanaan Abu Lubabah bagi menentukan nasib mereka.

"Mungkin lebih baik kami menyerah diri sahaja kepada Muhammad dan menerima sahaja apa sahaja hukuman yang bakal ditentukan oleh Muhammad kepada kami," tanya Kaab.

Abu Lubabah pun menjawab: "Ya".

Tetapi telah berlaku satu kesilapan yang sangat besar di sini, walaupun mulut Abu Lubabah berkata "ya" tetapi tanpa beliau sedari, yang disaksikan oleh seluruh hadirin beliau meletakkan jarinya ke leher yang digerakkan kiri ke kanan.

Yang lazimnya bermaksud akan disembelih!

Ini menyebabkan kaum Yahudi itu sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa Abu Lubabah akan bertindak sedemikian rupanya.

Yang diharapkan Abu Lubabah akan menyelamatkan mereka, tetapi rupa-rupanya Abu Lubabah yakin bahawa mereka sebenarnya akan mati dibunuh juga akhirnya.

Ini menyebabkan kaum Yahudi terus menghalau beliau. Abu Lubabah sendiri sebenarnya berasa sangat malu dan menyesal kerana seolah-olah beliau telah mendahului Rasulullah dalam menentukan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kaum Yahudi itu.

Sedangkan beliau sepatutnya berbincang dan sama-sama mencari jalan keluar dan bukannya menjatuhkan hukuman.

Lalu sejurus tiba di rumahnya, beliau meminta rantai besi daripada isterinya lalu dibawa ke Masjid Nabawi dan dengan bantuan isterinya itu Abu Lubabah mengikat dirinya sendiri di salah satu tiang besar yang ada di masjid itu.

Beliau sungguh kesal dan menangis serta sanggup agar dirinya dirantai sebagai menyesali perbuatannya itu.

Abu Lubabah mengarahkan isterinya agar beliau dilepaskan hanya untuk tujuan bersolat, makan minum dan melepaskan hajat.

Selain itu beliau rela dirantai dan diikat pada tiang tersebut atas rasa bersalah beliau yang menggagalkan rundingan dengan Yahudi Bani Quraizah itu.

Apabila ditanya oleh orang ramai dan mereka cuba melepaskan beliau dari rantai itu, Abu Lubabah enggan dilepaskan sehinggalah Allah mengampuni dosa dan kesalahannya itu.

"Saya tidak akan melepaskan diri daripada rantai ini apatah lagi pergi dari tempat ini melainkan Allah menerima taubat saya.

"Saya berjanji kepada Allah bahawa saya tidak akan memijak lagi bumi Bani Quraizah dan tidak akan melihat negeri yang menjadikan saya khianat kepada Allah dan rasul-Nya itu buat selama-lamanya," kata beliau.

Taubat

Beliau rela diikat dan dirantai pada tiang masjid itu dan tidak henti-henti menangis, bertaubat dan memohon kepada Allah agar dosanya diampunkan.

Dikatakan selepas enam hari dan enam malam Abu Lubabah menghukum dirinya sendiri seperti itu, akhirnya Allah pun menurunkan wahyu dan ayat kepada baginda, Nabi Muhammad;

Dan ada golongan yang mengakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampur adukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (at-Taubah: 102)

Sebelum itu dikatakan ayat yang turun berhubung dengan apa yang dilakukan oleh Abu Lubabah itu, Allah telah berfirman dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasul-Nya (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepercayaan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui. (al-Anfaal: 27)

Rasulullah sendiri tidak dapat melepaskan Abu Lubabah daripada rantai yang kuat mengikatnya di tiang itu sebagai menghormati permintaan Abu Lubabah yang mahu dilepaskan sehinggalah Allah sendiri mengampuninya.

Sedangkan Rasulullah sedia memaafkannya kalau Abu Lubabah menemui baginda untuk memohon maaf.

Wahyu yang menerima taubat Abu Lubabah itu diterima oleh baginda pada waktu tengah malam.

Baginda lalu memberitahu isteri Abu Lubabah, Ummu Salamah supaya menyampaikan berita gembira itu kepada suaminya yang sedang dirantai di masjid.

Sudah pastinya Abu Lubabah begitu gembira kerana Allah akhirnya mengampuni beliau.

Begitupun beliau masih tidak mahu dilepaskan dari rantai yang mengikatnya sehinggalah Rasulullah sendiri yang melepaskan ikatan rantai itu.

Kebetulan pula baginda masuk ke masjid itu kerana hendak mengerjakan solat Subuh, maka pada subuh hening itu bersama linangan air mata kegembiraan Abu Lubabah, baginda pun membebaskan sahabat itu dan baginda sendiri tidak pernah menyalahkan Abu Lubabah atas apa yang telah beliau lakukan!