Friday, September 11, 2009

Bulan paling utama bersedekah

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

JIKA manusia tahu kebaikan yang melimpah ruah ketika Ramadan, nescaya mereka akan mengharapkan Ramadan berlaku sepanjang tahun." (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunya)

Pada bulan ini juga, antara keberkatannya ialah amalan sedekah.


Islam sangat menggalakkan umatnya bersedekah, kerana ia membolehkan golongan miskin, anak yatim dan orang lain yang tidak bernasib baik mendapat pembelaan dan mengecap nikmat hidup.

"Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Al-Baqarah:261)

Bersedekah pada Ramadan lebih baik berbanding pada bulan lain. Ini sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam hadis diriwayat at-Tirmidzi, maksudnya: "Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada Ramadan."

Orang yang suka bersedekah mendapat beberapa kebaikan seperti panjang usianya, dimurahkan rezeki dari pintu tidak disangka, hati berasa tenang dan dijauhi daripada bala.

Pada suatu hari Ali bin Abi Talib memberikan sedekah kepada seorang miskin sebanyak enam dirham.

Kemudian, Allah mengutuskan dua malaikat iaitu Jibril dan Mikail yang menjelma sebagai dua Arab Badwi yang menggantikan enam dirham disedekahkan Ali dengan 300 dirham.

Dalam satu kisah lagi, Abu Dahdah Anshari mengunjungi Nabi Muhammad dan bertanya baginda: "Wahai Rasulullah, adakah Allah meminjam daripada kami?

Nabi menjawab: "Ya, benar."

Kemudian Abu Dahdah berkata: "Hulurkan tanganmu yang mulia itu wahai rasul kerana aku mahu memegangnya."

Nabi Muhammad s.a.w menghulurkan tangannya dan Abu Dahdah memegang tangan nabi sambil berkata: "Wahai Rasulullah, aku meminjamkan kebunku kepada Allah."

Di kebun itu ada 600 pohon kurma dan di kebun itulah isteri dan anak-anak Abu Dahdah tinggal.

Selepas itu, dia menuju ke kebunnya dan berkata kepada isterinya. "Marilah kita keluar dari kebun ini kerana aku sudah memberikannya kepada Allah." Kemudian, Nabi membahagikan kebun itu untuk anak yatim.

Ada dua keadaan orang yang bersedekah, iaitu melakukannya secara senyap dan satu lagi dengan terang-terangan. Kedua-duanya mengandungi kebaikan dan mendapat ganjaran.

"Kalau kamu zahirkan sedekah itu, maka itu adalah baik dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah itu serta berikan kepada fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu..." (Al-Baqarah:271)

Imam Ghazali menyebut dalam Ihya Ulumiddin mengenai adab bersedekah. Beliau menjelaskan: "Janganlah merosakkan sedekah dengan mann dan adza."

Sesetengah ulama mengatakan mann ialah menyebut-nyebut berkenaan sedekah di depan orang lain dan adza adalah memberitahu sedekah itu kepada orang lain.

Ada ulama berpendapat mann adalah memerintahkan orang yang menerima sedekah itu melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bayaran sebagai ganti pemberiannya manakala adza ialah mengatakan orang menerima sedekah itu orang miskin.

Ulama lain berpendapat, mann ialah dengan pemberian itu, orang yang memberi menunjukkan besar diri kepada orang yang menerima manakala adza ialah memarahi orang menerimanya kerana meminta-minta.

Amalan sedekah juga tidak sunyi daripada riak iaitu menunjuk-nunjuk.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Yang paling aku takuti ke atas diri kamu adalah syirik kecil." Sahabat bertanya: "Apakah syirik kecil itu?" Nabi menjawab: "Beramal kerana mahu menunjuk-nunjuk."

Justeru itu, ada ulama mengatakan sedekah secara diam-diam, tidak dihebohkan dan dipertontonkan lebih baik, seperti kata al-Ghazali, memberi sedekah dengan cara sembunyi itu dapat menyelamatkan kita daripada riak dan kemasyhuran.

Ibnu Umar melaporkan daripada Nabi, amal soleh dengan cara bersembunyi itu lebih utama daripada amal soleh yang dilakukan secara terang-terangan kecuali katanya, apabila kita mahu orang lain meniru perbuatan kita demi kebaikan.

No comments: